Buletin

NISSAN GT-R PREMIUM EDITION RASMI DIJUAL DI THAILAND – GODZILLA INI BERHARGA RM1.69 JUTA

Nissan Motor Thailand akhirnya menamatkan spekulasi apabila melancarkan jentera berkuasa tinggi Nissan GT-R Premium Edition di Thailand.

“Saya berbesar hati kerana dapat memperkenalkan kereta sport termaju dan terbaik pernah dihasilkan oleh Nissan ke pasaran Thailand.

“Dengan model ini, Nissan sekali lagi dapat menawarkan inovasi dan keterujaan kepada semua,” kata Presiden Nissan Motor Thailand, Antoine Bartes.

Jentera itu ditawarkan pada harga 13.5 juta baht (RM1.69 juta) dan hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,0000km.

Tidak ketinggalan, servis khas daripada pihak Siam Nissan TKF – Pusat Prestasi Tinggi Nissan yang baru dilantik untuk menawarkan khidmat pelanggan terbaik kepada para pemiliknya.

Ia dikuasakan oleh enjin V6 Twin Turbo bersesaran 3.8 liter yang mampu menjana kuasa 555hp dan tork 632Nm. Enjin dengan kod VR38DETT itu dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda menerusi sistem pacuan empat roda.

GT-R Premium Edition disasarkan kepada mereka yang mahu menikmati pengalaman memandu sebuah jentera GT (Grand Touring) dan R (Racing). Sama seperti model-model baharu Nissan, ia didatangkan dengan hud dan gril V-motion.

Bagi menambah baik aliran udara, bampar hadapan dipasang dengan peresap udara karbon SMC, peresap udara karbon komposit serta rim aloi tempa bersaiz 20 inci. Rim tersebut dibalut dengan tayar Dunlop SP Sport Maxx GT 6000 DSST CTT yang direka khas untuk kereta sport ini. 

Model Premium Edition itu turut dilengkapi sistem suspensi Bilstein Damptronic yang membolehkan pemandu memilih tiga mode pemanduan iaitu Normal, Comfort dan R. Tugas membrek pula diserahkan kepada brek cakera bersaiz 390mm di hadapan dan 380mm di belakang.

Melihat ke ruang kabin, model yang dikenali sebagai R35 itu hadir dengan paparan bersaiz lapan inci, sistem bunyi Bose, navigasi, pendingin hawa dua zon dan banyak lagi.

GT-R yang dihasilkan di kilang Nissan di Tochigi, Jepun tersebut didatangkan dalam enam piihan warna iaitu oren, merah, hitam, putih, biru mutiara dan kelabu metalik.  

Google ads
Back to top button