Buletin

GEELY MAHU BELI 34.02% SAHAM DALAM RENAULT KOREA MOTORS!

Renault Group dan Geely Auto telah memeterai perjanjian langganan pegangan saham dan perjanjian kerjasama susulan perjanjian rangka kerja yang ditandatangani pada Januari 2022.

Setelah selesai, Geely Automobile Holdings melalui syarikat subsidiari Centurion Industries Limited akan memegang 34.02 peratus saham di dalam Renault Korea Motors (RKM).

Pegangan itu bagaimanapun masih meletakkan Renault Group sebagai pemegang saham terbesar di dalam RKM.

Pada Januari 2022, Geely Holding Group dan Renault Group mengumumkan secara bersama satu kolaborasi bagi membawakan barisan kenderaan baharu hibrid (HEV) dan model pembakaran dalaman (ICE) ke Korea Selatan dan meneroka pasaran luar.

Kenderaan itu akan dikeluarkan di kilang RKM di Busan, Korea Selatan dengan pengeluaran dijangka bermula pada tahun 2024.

Model baharu itu akan menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) yang dibangunkan oleh bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) Geely Holding Group di Sweden.

Kerjasama itu juga akan memanfaatkan teknologi rangkaian kuasa hibrid canggih milik Geely Holding Group.

Renault dan RKM pula akan menyumbang teknologi, kepakaran dalam reka bentuk dan pengalaman pelanggan.

Model baharu itu akan dijual melalui rangkaian pengedaran RKM dan khidmat selepas jualan sedia ada.

Prestasi khidmat selepas jualan RKM berada di tempat pertama selama enam tahun berturut-turut sehingga tahun 2021 di dalam tinjauan yang dibuat oleh Consumer Insight.

Kedua-dua syarikat komited dalam RKM bagi memperkenalkan portfolio produk baharu yang dapat menyumbang kepada pegangan pasaran lebih besar di dalam pasaran domestik Korea Selatan dan pada masa yang sama meneroka peluang eksport ke pasaran luar.

Google ads
Back to top button