
NISSAN MAX-OUT KERETA KONSEP ELEKTRIK BUKA BUMBUNG!
Di dalam segmen kereta elektrik hari ini, sudah banyak model yang dilancarkan di pasaran tempatan sama ada dari Jepun, Korea Selatan, Eropah dan China.
Paling murah berharga sekitar RM150,000 atau anda boleh juga mendapatkan model terpakai Nissan LEAF dan Renault Zoe pada harga yang jauh lebih rendah.
Dengan pelbagai model yang ditawarkan pada hari ini, Nissan berada di dalam kelompok terawal melalui LEAF generasi pertama yang dilancar pada November 2013.
Model elektrik pertama di pasaran tempatan ialah Mitsubishi i-MIEV yang dilancar pada Mac 2013. Renault menyusul dengan membuka tempahan untuk Zoe dan Twizy pada April 2015.
Berkenaan harga, i-MIEV dijual pada RM136,118.50, LEAF RM168,800, Twizy RM71,888 dan Zoe RM145,888.
Begitulah ringkasan penawaran kereta elektrik di pasaran tempatan yang kini berada pada gelombang kedua.
Dari empat model tersebut, Nissan dan Renault konsisten menawarkan LEAF dan Zoe generasi kedua di pasaran tempatan.
Melalui pengetahuan, pengalaman dan keberanian yang ada pada Nissan, produk elektrik buatannya mempunyai potensi untuk lebih menonjol.
Di antara kereta elektrik popular sekarang ini ialah Tesla, Hyundai IONIQ 5, Kia EV6 dan Ora Good Cat yang membawa formula comel dan retro.
Bagaimana dengan Nissan? Bermula 4 Februari hingga 1 Mac Nissan menganjurkan program Nissan Futures yang bertempat di Galeri Ibu Pejabat Global di Yokohama, Jepun.
Program itu mempamerkan bagaimana Nissan membentuk masa depan mobiliti yang mampan dan reka bentuk inovatif.
Nissan menggunakan pameran itu untuk mempertontonkan Max-Out Concept, sebuah kereta dua tempat duduk elektrik dengan bumbung boleh buka.
Kereta sebegini yang diperlukan oleh Nissan dan disasarkan kepada pelanggan berduit.
Max-Out Concept sebelum ini ditunjukkan di dalam bentuk maya dan satu daripada empat model konsep yang diperkenalkan pada November 2021.
Nissan tidak menyatakan tentang rancangan untuk menjadikannya realiti namun sebuah kereta sport janaan elektrik adalah idea yang baik.
Melalui LEAF, Nissan sudah pun mempunyai teknologi janaan elektrik termasuk pacuan semua roda e-4ORCE yang digunakan pada Nissan Ariya.
Adakah Max-Out bakal dijadikan realiti atau sekurang-kurangnya bayangan model masa depan? Jawapannya pada Nissan.
Kereta sport dua pintu sebenarnya sudah sebati dengan Nissan sejak puluhan tahun dulu dan tradisi tersebut diteruskan melalui Fairlady Z baharu.
BACA: NISSAN FAIRLADY Z CUSTOMIZED EDITION BAKAL DIKELUARKAN! IMBAS NOSTALGIA FAIRLADY Z432R
BACA: PADA 2000 NISSAN X-TRAIL T30 DIPERKENAL, SISTEM 4X4 TEKAN BUTANG!
BACA: PADA 1969 NISSAN SKYLINE 2000GT-R DIPERKENAL, 4 PINTU SEBELUM 2 PINTU
















