GPX LANCAR GTM250R KHAS UNTUK PASARAN JEPUN – HANYA 150 UNIT, RM18.5K
GPX merupakan jenama motosikal Thailand yang semakin mendapat perhatian meskipun jenama itu baru ditubuhkan pada 2007.
Terbaru, GPX telah melancarkan GTM250R khas untuk pasaran Jepun dan hanya terhad kepada 150 unit sahaja.
Menurut GPX, GTM250R merupakan penyambung kepada legasi GPX Gentleman Racer 200 dengan menawarkan motosikal penuh gaya namun dengan harga mampu milik.
Seperti Gentleman Racer 200, GTM250R ini juga hadir dengan gaya retro termasuk panel lampu depan.
Bagaimanapun, berbanding Gentleman Racer 200 yang hanya bernadikan enjin satu silinder 197cc dengan karburator, GTM250R ini dipacu enjin satu silinder 250cc dengan suntikan bahan api yang berupaya menjana 20.4hp. Berat (kering) pula diletakkan pada 148kg.
Antara ciri lain ditawarkan termasuk rim 17-inci jenis ‘spoke’ dan suspensi depan belakang dengan pra beban boleh laras. Menariknya, GTM250R ini hadir dengan cakera brek depan dan belakang dengan brek kaliper jenis radial.
Seperti dimaklumkan, hanya 150 unit GTM250R ini ditawarkan untuk pasaran Jepun dengan harga jualan JPY566,500 (RM18.5k).