Artikel Pilihan

NISSAN VANETTE, IKON VAN RAKYAT SEBELUM WUJUDNYA ALZA & EXORA

Sebelum wujudnya terma MPV (multi purpose vehicle), van adalah pilihan alternatif pengguna yang ada ahli keluarga yang ramai untuk bergerak ke sana sini. Salah satu model yang popular ialah Nissan Vanetter yang telah lama bertapak di dalam negara dengan model C20 dan C22

Bagi model C22, ia adalah model yang telah diperkenalkan semenjak tahun 1980an lagi, dan masih lagi digunakan sehingga pada hari ini sebagai van komersial dengan panel besi bukannya cermin biasa. Walaupun diperkenalkan dengan pelbagai varian enjin dari pilihan 1200cc, 1400, 2000cc dan 2000cc diesel, bagi pasaran dalam negara ia ditawarkan dengan enjin 1500cc 4 silinder petrol

Enjin ini menjana sekitar 79 kuasa kuda dan 123Nm tork ditawarkan dengan pilihan transmisi manual 4 kelajuan atau 5 kelajuan dengan semua kuasa dihantar pada roda belakang. Apa yang menarik ialah kedudukan enjin berada di tengah cesi, atau secara tepatnya di bawah kusyen pemandu dengan semua gegaran enjin akan dirasai oleh semua penumpang

Malah dalam sesetengah keadaa, haba dari enjin boleh meresap masuk ke dalam kabin sehingga menyebabkan rasa kurang selesa pada penumpang walaupun penutup enjin dibalut dengan bahan penebat. Varian yang paling popular sekitar 1990an ialah varian yang menggunakan karburetor dengan pemasaan contact point

Namun ia menjadi pilihan kerana alat ganti senang untuk dicari di merata ceruk kawasan. Malah pembaikan juga boleh dilakukan oleh mana-mana pomen yang tahu menggunakan spanar serta jek. Tiada spesifikasi khas untuk minyak hitam, asalkan ditukar pada setiap 5000km. Hanya isu radiator cepat berkarat sahaja yang selalu terjadi disebabkan pengguna suka menggunakan air paip dalam radiator

Dengan harga baru hanyalah sekitar RM 47,500 (harga MyVi/Axia hari ini) ia adalah pilihan pemandu yang ada ahli keluarga yang ramai. Kusyen asal hanyalah kusyen “bench” boleh lipat 6 tempat duduk di bahagian belakang, namun pemandu akan menukar kepada kusyen dengan rekaan yang lebih selesa

Malah berjalan makan angin dengan menggunakan van ini adalah jauh lebih selesa berbanding dengan kereta sedan biasa bagi keluarga dengan adik beradik yang ramai seperti penulis. Beg pakaian boleh disumbat di bawah kusyen belakang dan semua penumpang masih boleh duduk dengan selesa.

Biasanya penyaman udara adalah hanya untuk kegunaan penumpang depan sahaja, namun seperti biasa kedai aksesori akan menawarkan aircond yang boleh dipasang di luar pada harga yang lebih murah untuk penyejukan penumpang barisan kedua dan barisan ke tiga

Pada ketika itu jenama Nissan dikenali sebagai jenama yang tahan lasak dan tidak banyak ragam, menjadi pilihan kepada semua pengguna samaada untuk kegunaan persendirian atau kegunaan perniagaan kecil kecilan seperti peniaga pasar malam, membawa barangan borong dan dijadikan van sapu sekolah.

Ada juga van ini diubah menjadi jentera bomba sukarela, van jenazah, campervan dan van menjual kopi hipster pada hari ini untuk lebih bergaya.Ada juga van ini dijadikan prebet sapu iaitu Grab pada tahun sekitar 1990an dulu.

Bergantung kepada keadaan, Vanette ini juga amat laku di pasaran terpakai dengan anggaran harga antara RM 15,000 sehingga RM 25,000 bergantung pada keadaan dan tahun dikeluarkan serta keadaan kusyen samaada standard atau telah diubahsuai

Berbanding dengan kawasan bandar yang lebih gemarkan Toyota Previa yang lebih bergaya untuk golongan T20, atau Toyota Unser yang mulai popular dengan enjin 1800cc dan gear automatik, Nissan Vanette kekal popular di kawasan luar bandar

Rekaan pacuan roda belakang dengan jarak kelegaan permukaan jalan yang tinggi memudahkan Nissan Vanette untuk meredah laluan tidak berturap di kampung pada tahun 1990an dulu. Namun begitu Nissan Vanette juga ada beberapa kekurangan yang agak ketara, namun bagi pengguna berpendapatan rendah ia bukanlah isu besar

Antara kekurangan Nissan Vanette ialah:

1. Cesi kurang selamat – jika anda perasan enjin van berada di bawah kusyen, menjadikan ruang depan menawarkan perlindungan yang minima (crumple zon) yang sikit. Jika enjin berada di depan, enjin akan menahan impak perlanggaran dan mengurangkan kecederaan pemandu

2. Kuat makan petrol – enjin zaman dulu dulu tidak begitu efisyen dan hanya menggunakan bantuan karburetor. Jika dibandingkan dengan enjin zaman sekarang, enjin 1500cc lengkap dengan pemasaan injap berganda, suntikan bahan api terus, dibina dari aluminium dan rekaan DOHC. Tapi zaman dulu harga petrol masih lagi murah

3. NVH ke laut – ya disebabkan enjin di tengah, semua gegaran enjin akan dirasai oleh semua penumpang. Perjalanan jarak jauh boleh jadi meletihkan dan penat. Apatah lagi tidak semua van dipasang dengan penyaman udara menjadikan berpeluh dalam kereta adalah perkara biasa

4. Keras – suspensi belakang menggunakan dedaun (leaf spring) yang sebenarnya lebih sesuai untuk membawa beban yang berat dan bukannya penumpang. Kadangkala menaiki van ini adalah kurang selesa berbanding dengan menaiki kereta

Walau apa pun kelemahan Nissan Vanette, ia adalah pilihan alternatif pada tahun 1980an sehingga 1990an pada pengguna yang mahukan sebuah kenderaan yang besar dan hanya satu kereta sahaja. Anda kena ingat, disebabkan pendapatan isi rumah yang kecil maka jarang sekali kita melihat satu rumah ada 2 kereta

Jadi Nissan Vanette inilah yang digunakan untuk aktiviti seharian, makan angin pada cuti sekolah, membawa rombongan kenduri, sebagai kenderaan syarikat dan ada juga digunakan sebagai kenderaan rasmi untuk sekolah pondok di pedalaman

Google ads
Back to top button