Artikel PilihanMotosikal

BMW KENALKAN SKUTER KONSEP BAHARU DENGAN ROLL CAGE – FUTURISTIK SANGAT NI

BMW Motorrad baru saja dedahkan model konsep Vision CE mereka, lebih awal dari tarikh sepatutnya 8 September di Munich Motor Show. Ia merupakan sebuah skuter elektrik dengan tempat duduk penuh dan sangkar keselamatan macam kereta lumba. Helmet kena pakai juga ke naik benda ni?

Rekaan ini kelihatan seperti kombinasi CE 04 dan skuter mobility. Moden tapi masih nampak tradisional. Ia mengingatkan kami pada kanopi untuk motorsikal kecil dan skuter yang popular di Thailand. Sempat juga popular kat Malaysia sekejap.

Model konsep ini mempunyai lampu utama yang memanjang dan tipis, lampu tambahan pada sangkar keselamatan dan cermin penghadang kecil. BMW menyatakan yang skuter ini juga boleh dikustomisasi mengikut keperluan. Nak pasang pembesar suara Bluetooth pun boleh.

Penunggang pula duduk di atas tempat duduk yang unik dan bukannya pelana seperti skuter biasa. Siap boleh bersandar lagi kau. Harap-harap tak ada yang tertidur sebab terlebih selesa.

Ia juga dilengkapi dengan paparan digital yang besar selain tempat pengecas tertutup. Tak ada risiko telefon pintar terjatuh kalau terlanggar lubang.

Tak banyak info yang didedahkan BMW tentang model konsep ini buat masa sekarang tapi mereka mengesahkan yang ianya berkuasa elektrik dan mempunyai fungsi imbangan. Fungsi tersebut membolehkan skuter tersebut berada dalam kedudukan tegak walau pun ketika statik. Mantap.

Google ads
Back to top button