
NISSAN VERSA NOTE SR
Nissan baru-baru ini mempamerkan model hatchback Versa Note 2015 menerusi debut model yang lebih sporty iaitu Versa Note SR.
Ia merupakan salah satu daripada dua varian baharu yang ditambah dalam model Versa Note yang kini sudah memasuki tahun kedua produksinya. Gred baharu itu akan mula dijual di pasaran Eropah mulai musim bunga nanti bersama model Versa Note S MT, S Plus CVT dan SV CVT.
Mula diperkenalkan pada tahun 2013, generasi kedua sub kompak lima pintu itu memang terkenal kerana mampu menawarkan versatiliti, teknologi dan nilai kepada pengguna.
Gayaan Versa Note SR menyerlah dengan rekaan luaran yang lebih eksklusif dan agresif. Bahagian hadapannya menampilkan fascia dan gril yang digabungkan bersama lampu utama serta lampu kabus. Penampilannya disempurnakan lagi dengan rim aloi sport bersaiz 16 inci dan spoiler belakang yang unik.
Ruang kabinnya kelihatan dinamik menerusi stereng dibalut kulit yang m,engambil inspirasi model 370Z. Di samping tempat duduk fabrik bersama jahitan berwarna oren, konsol tengah dengan kemasan perak dan tombol gear krom.
Versa Note SR dijana oleh unit enjin empat silinder DOHC bersesaran 1.6 liter. Enjin dengan sistem pancitan bahan api dan Twin CVTC (Continuously Variable Timing Control) berkuasa 109hp itu dipadankan bersama transmisi Xtronic® generasi terkini.
Dari segi sistem keselamatan pula, jentera itu dilengkapi sistem ABS, EBD dan BA. Selain Nissan Advanced Air Bag System (AABS), beg udara pada bahagian sisi dan bumbung, Vehicle Dynamic Control (VDC), Traction Control System (TCS) serta Tire Pressure Monitoring System (TPMS).
Versa Note SR ditawarkan dalam lapan warna menarik termasuklah biru, merah, perak, kelabu, hitam dan putih.













