NSX BAKAL DILAHIRKAN SEMULA SEBAGAI SUPERCAR ELEKTRIK – ACURA
Acura mengucapkan selamat jalan kepada model supercar NSX dengan melancarkan NSX Type S pada bulan April yang lalu dengan angka produksi terhad kepada 350 unit sahaja.
Tidak pun lama selepas pelancaran tersebut, Naib Presiden dan Pegawai Jenama Acura, Jon Ikeda memberikan bayangan jentera berprestasi tinggi itu akan kembali semula pada masa hadapan sebagai sebuah model berkuasa elektrik.
Hal ini turut diulangi oleh Jon Ikeda menerusi temubual bersama Nikkei Asia, baru-baru ini.
Jelasnya, “saya berani bertaruh untuk itu” apabila ditanya berkenaan prospek kereta sports andalan baharu jenama itu.
Selain daripada mengesahkan NSX akan menjadi sebuah supercar elektrik, Jon Ikeda turut menjelaskan jentera itu tidak akan mementingkan pecutan di garis lurus semata-mata.
Sebelum model NSX elektrik itu bakal menjengah dunia dan Honda beralih menjadi sebuah jenama EV sepenuhnya, para peminat jentera berprestasi tinggi Honda boleh mengambil kesempatan untuk merasai sendiri pemanduan kereta ICE tulen terakhir – Honda Civic Type R 2023. – Nikkei Asia