
NISSAN ARAH HENTI JUAL Z VERSI AUTOMATIK, MASALAH KOTAK GEAR PUNCA
Sebelum ini, Nissan nampaknya terpaksa menangguhkan sementara pelancaran model kereta sports Z di pasaran Amerika Syarikat disebabkan oleh masalah bekalan.
Kali ini, penjualan model Z menghadapi masalah baharu – terpaksa dihentikan buat sementara waktu terutama bagi model Z 2023 yang dilengkapi dengan kotak gear automatik sembilan nisbah kelajuan.
Ini kerana model tersebut mempunyai masalah mampu bergerak walaupun selepas gear dimasukkan ke posisi P.
Nissan Z 2023 menggunakan kotak gear automatik jenis torque converter dari Jatco yang turut sama digunakan oleh trak Nissan Frontier dan Nissan Titan.

Trak-trak pikap yang disebutkan itu tadi turut mempunyai masalah yang serupa, mengakibatkan Nissan terpaksa mengumumkan dua kempen recall yang berbeza.
Menurut jurucakap Nissan, pihak mereka terpaksa menghentikan penjualan model tersebut sementara siasatan terperinci dijalankan.
Ini bermakna, Nissan tidak akan meneruskan proses penghantaran model yang dipasang di kilang Tochigi di Jepun sehingga masalah tersebut selesai.
Keadaan bertambah buruk apabila masalah ini masih lagi belum mempunyai penyelesaian dan ini menyebabkan kelewatan penghantaran akan mengambil masa yang lebih lama berbanding yang dijangkakan. – Motor1