Buletin

OPEL LANCAR ASTRA SPORTS TOURER 2022 – MASIH PERLUKAN SUV?

Segmen wagon/station wagon/estate masih lagi mendapat tempat di pasaran Eropah, dan tidak ada sebab bagi sesetengah pengeluar menghentikan terus penawaran model tersebut.

Selepas Peugeot melancarkan model wagon 308SW pada pertengahan tahun lalu, kini giliran Opel pula melancarkan model wagon menggunakan asas daripada model 308SW, dinamakan sebagai Opel Astra Sports Tourer.

Astra Sport Tourer banyak mewarisi elemen dimensi yang terdapat pada model 308SW, seperti ruang kargo sebesar 608 liter, atau 1,634 liter dengan tempat duduk baris kedua dilipat, diikuti dengan lantai kargo yang boleh dilaras ketinggian.

Dari segi luaran, ia membawakan penggayaan yang serupa dengan model hatchback lima pintu Opel Astra, seperti contoh lampu matrix LED, rekaan lampu belakang dengan grafik tajam, diikuti pintu tailgate berkuasa elektrik dengan operasi bebas tangan.

Sementara ruang kabin pula menempatkan kelengkapan seperti paparan head-up, skrin kluster instrumen digital penuh serta skrin infotainmen tengah yang menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Untuk pasaran Eropah, Opel Astra Sports Tourer ditawarkan dengan pilihan enjin 1.2 liter turbo yang mampu menghasilkan 110 hp dan 205 Nm, atau talaan yang lebih berkuasa 130 hp dan 230 Nm.

Sementara untuk mereka yang mahukan enjin diesel, terdapat nadi 1.5 liter turbo yang mampu menjana 130 hp dan 300 Nm.

Versi plug-in hybrid pula didatangkan dengan nadi 1.6 liter turbo yang mampu menghasilkan 180 hp dan 360 Nm. Opel juga bakal menawarkan varian yang lebih berkuasa pada masa akan datang, dengan talaan 225 hp.

Tidak seperti model berenjin biasa, varian PHEV mendapat ruang kargo yang sedikit kecil, iaitu 548 liter atau 1,574 liter apabila tempat duduk belakang dilipat rata.

Google ads
Back to top button