Buletin

OPEL ROCKS-E KARGO – KUADRISIKAL ELEKTRIK UNTUK PENGHANTARAN BARANG DALAM BANDAR

Di Eropah, Opel baharu sahaja melancarkan sebuah kenderaan yang diklasifikasikan sebagai kuadrisikal, iaitu Rocks-e Kargo yang merupakan versi tukar lencana daripada model Citroen My Ami Cargo.

Versi ini didatangkan dengan satu tempat duduk sahaja, disebabkan itu ruang kargo mampu memuatkan barangan sehingga 400 liter yang sangat fleksibel.

Ini kerana ia mempunyai lantai yang boleh dilaras membolehkan barangan sepanjang sehingga 1.2 meter dimuatkan, dengan berat maksimum 140 kg.

Berapa besar EV ini?

Dari segi dimensi, ia membawakan ukuran sepanjang 2.41 meter, 1.39 meter lebar, dan 1.52 meter tinggi, dan mempunyai radius putaran 7.2 meter sahaja.

Oleh sebab itu ia amat sesuai digunakan untuk tujuan penghantaran barangan untuk jarak dekat (khususnya dalam bandar) seperti bungkusan pos, dan juga pizza.

Opel Rocks-e Kargo didatangkan dengan motor elektrik berkuasa 8 hp (12 hp maksimum untuk tujuan pecutan), sementara pek bateri berkapasiti 5.5 kWh membolehkan pemanduan sejauh 75 km untuk sekali cas penuh.

Pengecasan kembali pek bateri boleh dibuat menerusi soket AC yang biasa selama empat jam sahaja.

Google ads
Back to top button