Buletin

FERRARI 296 GTB MASUK MALAYSIA. HARGA BERMULA RM1.23 JUTA

Naza Italia yang merupakan pengimport dan pengedar jenama Ferrari di Malaysia melancarkan jentera Ferrari 296 GTB.

Sport car terbaharu enjin mid-rear dengan dua tempat duduk itu ditawarkan pada harga bermula RM1,228,000.

Menariknya tentang Ferrari 296 GTB, ia merupakan model pertama jentera jalanan Ferrari mendapat khidmat enjin V6 turbo dipadankan motor elektrik plug-in. 

Nama model berkenaan juga diambil daripada gabungan kapasiti enjinnya 2,992 dan jumlah silinder manakala GTB membawa maksud Gran Turismo Berlinetta.

Jentera terbaharu itu menampilkan gabungan elemen rekaan model-model Ferrari seperti 250 LM, SF90 dan LaFerrari untuk menyerlahkan lagi sisi sporty.

Ia turut memiliki berat kira-kira 1,470 kg dengan ukuran 4,565 mm panjang, 1,958 mm lebar dan ketinggian 1,187 mm.

Ruang dalaman pula, Ferrari 296 GTB dibangunkan berdasarkan konsep baharu yang menekankan gaya digital sepenuhnya seperti model SF90 Stradale.

Ia hadir dengan skrin digital utama di belakang stereng dan skrin paparan kecil pada bahagian penumpang.

Jentera baharu itu dilengkapi kawalan elektronik seperti eTC, eDiff, SCM, FDE2.0, EPS, dan ABS Evo.

Selain itu, model berkenaan turut didatangkan dengan  empat mod pemanduan eManettino iaitu eDrive, Hybrid, Performance dan Qualify.

Jentera 296 GTB mendapat khidmat enjin 2.9 liter V6 120 darjah turbo mampu menjana kuasa mencecah 654 hp.

Dengan menggandingkan motor elektrik, jentera tersebut berupaya menjana sehingga 819 hp dan 740 Nm dipadankan transmisi DCT lapan kelajuan daripada model SF90 Stradale.

Ia mampu memecut 0-100 km/j dalam tempoh 2.9 saat manakala 0-200 km/j dalam 7.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 330 km/j.

Naza Italia turut menawarkan pakej Assetto Fiorano yang menggunakan bahan ringan seperti gentian karbon dan tingkap belakang Lexan.

Pakej berkenaan juga dilengkapi rim gentian karbon dibaluti tayar Michelin Sport Cup R2 serta sentuhan liveri khas sebagai penghormatan kepada jentera lumba 250 Le Mans.

Untuk keterangan lanjut mengenai jentera 296 GTB boleh mengunjungi bilik pameran Ferrari Malaysia.

GALERI:

Google ads
Back to top button