Buletin

NISSAN GT-R GENERASI BARU AKAN IKUT KEHENDAK PEMBELI

Ketua Pakar Produk Nissan GT-R, Hiroshi Tamura nampaknya tidak tergesa-gesa untuk menghasilkan model gantian GT-R yang ada sekarang. 

Sebagai individu yang bertanggungjawab menghidupkan model GT-R R35, Tamura tidak peduli dengan kritikan ramai yang mendakwa kereta sports itu sudah hilang taringnya. 

“Kami melancarkan R32 Skyline GT-R pada tahun 1989. Kemudian R33 Skyline GT-R pada tahun 1995, sebelum menghasilkan pula R34 Skyline GT-R pada tahun 1999. Tetapi semua jentera itu menggunakan enjin RB26 yang sama, turbo berkembar dan sistem pacuan semua roda. 

“Selama 13 tahun (1989-2002), kami tidak menukar apa pun pada platform ini kecuali memanjangkan tapak rodanya. Usia model R35 GT-R generasi yang bermula tahun 2007 sekarang baru 13 tahun, tidaklah terlalu lama,” kata Tamura-san. 

Apabila ditanya mengenai pentingnya untuk membangunkan sebuah jentera serba baharu dengan teknologi-teknologi terkini, dia bagaimanapun menyatakan semua itu bergantung kepada apa yang pelanggan mahukan. Jika mereka mahukan sebuah EV berprestasi tinggi, itulah yang mereka akan dapat. 

“Semuanya bergantung kepada kehendak pelanggan. Jika ada pelanggan mahukan sebuah EV, saya akan kata kenapa tidak? Tetapi jangan tulis Tamura yang kata, kereta sports generasi akan datang ialah sebuah EV. Saya tidak kata begitu. 

“Sebaliknya, kenapa tidak kita kaji semua pendapat ini? Jadi, jika pelanggan mahukan sebuah EV, saya akan buat. Jika mereka mahukan enjin pembakaran dalaman, saya juga akan buat. Saya perlu fikir tentang pendapat pelanggan sebenar atau pembeli, itu sahaja,” katanya lagi. 

Tamura bersikap terbuka terhadap kemungkinan memasang sistem pemanduan berautonomi ke dalam GT-R serba baharu.

Menurutnya, sistem itu boleh digunakan untuk kereta dipandu menuju ke litar sebelum pemandu memandunya seperti biasa ketika berlumba. 

Google ads
Back to top button