WRC 2019 – OTT TÄNAK RAIH KEJAYAAN BERTURUT DI PORTUGAL
Pelumba Pasukan Toyota Gazoo Racing, Ott Tänak sekali lagi berjaya membuktikan kehandalan beliau apabila berjaya merangkul kejuaraan di Vodafone Rally de Portugal.
Kejayaan ini merupakan kali kedua berturut sesudah melakukannya di Chile pada perlumbaan sebelum ini. Penguasaan pelumba kelahiran Estonia ini bermula sedari peringkat awal lagi. Malah, pada SS2/3, ketiga – tiga pelumba Toyota berjaya mendominasi saingan dengan Jari-Matti Latvala di tempat kedua dan juga Kris Meeke di tempat ketiga.
Kemenangan Ott Tänak ini sebetulnya agak dramatik juga apabila beliau mengalami masalah brek pada SS8/9 sehingga mengakibatkan kehilangan masa berharga. Tapi itu pun masih lagi mendahului. Punyalah handal beliau memandu dalam keadaan laluan yang dipenuhi dengan debu.
Namun malang menimpa buat Kris Meeke apabila kereta Yaris WRC beliau mengalami kemalangan pada peringkat akhir saingan walaupun ketika itu beliau berada di posisi kedua dengan ketinggalan hanya 2.4 saat sahaja.
Ternyata berita duka buat pelumba Britain tersebu adalah rahmat buat Thierry Neuville yang memandu Hyundai i20 WRC apabila berjaya meraih podium tempat kedua.
Pelumba Citroen, Sebastian Ogier pula terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan ketinggalan hampir satu minit di belakang Ott Tänak. Jadilah kan. Dapat juga kutip mata berharga setidaknya.
Cumanya, Sebastian Ogier ini kalau diikutkan masih lagi konsisten walaupun tidak muncul juara. Beliau berjaya menaiki podium sebanyak enam kali daripada tujuh pusingan perlumbaan setakat ini.
Namun, ada cakap – cakap belakang usai tamat perlumbaan. Menurut kenyataan oleh Sebastian Ogier, beliau tampak kurang senang dengan arahan taktikal yang diberikan oleh Andrea Adamo terhadap pemandu pasukan Hyundai. Mujurlah juga Andrea Adamo yang juga merupakan Prinsipal Pasukan Hyundai memilih untuk mendiamkan diri.
Dengan pusingan berikutnya Rally Italia Sardegna bakal berlangsung pada pertengahan bulan Jun nanti, saingan pasti lebih sengit dengan masing – masing pasti cuba untuk menjarakkan pungutan mata.
Kedudukan Pelumba
- Sebastian Ogier – 142 Mata
- Ott Tanak – 140 Mata
- Thierry Neuville – 132 Mata
Kedudukan Pembuat
- Hyundai Shell Mobis – 202 Mata
- Toyota Gazoo Racing – 182 Mata
- Citroen Total – 158 Mata