Buletin

PERODUA SUDAH SERAH 52% ARUZ KEPADA PELANGGAN

Perodua sedang giat untuk mengurangkan jurang antara tempahan dan penghantaran SUV tujuh-tempat duduknya, Aruz.

Setakat ini, hampir 13,000 unit atau 52 peratus  daripada 25,000 tempahan yang diterima sudah diserahkan kepada pelanggan.

Secara purata, Perodua berjaya mempercepatkan penghantaran Perodua Aruz kepada 110 unit sehari daripada 100 sebelumnya.

Perodua akan terus bekerjasama rapat dengan para pembekal untuk terus mengurangkan jurang masa di antara tempahan dan penghantaran.

“Kepada pelanggan kami yang dihargai, kami dengan rendah hati dan tulus ikhlas memohon maaf andai kenderaan baharu anda tidak berjaya dihantar menjelang tibanya Hari Raya.

“Perodua sedang bertungkus-lumus untuk memaksimumkan pengeluaran dan penghantaran bagi memendekkan masa menunggu anda. Kami amat berterima kasih atas pemahaman, kesabaran dan kepercayaan anda,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Kecekapan bahan api Perodua Aruz 15.6 km/l yang terbaik dalam segmennya membolehkan ia diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Dengan enam beg udara dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), ditambah dengan Advanced Safety Assist 2.0 yang terdapat pada varian AV, Perodua Aruz diperakui dengan penarafan keselamatan maksimum ASEAN NCAP lima-bintang.

Berdasarkan kepada angka rasmi Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Perodua telah menjual sebanyak 22,943 kenderaan sepanjang Mei 2019, mengikut kiraan dalaman.

Ini menjadikan jumlah jualan lima bulan pertamanya kepada 105,743 unit – melonjak 8.5% berbanding 97,487 unit dari Januari hingga akhir-Mei 2018.

Google ads
Back to top button