
PADA 2010, NISSAN ELGRAND E52 DIPERKENAL DI JEPUN
Di dalam barisan MPV mewah yang ditawarkan di negara kita, Nissan Elgrand tidak kurang hebatnya. Sama seperti Toyota Alphard dan Vellfire, Elgrand bermula dengan unit import terpakai dari Jepun sebelum dibawa masuk secara rasmi oleh Edaran Tan Chong Motor (ETCM).
Iya benar, beberapa tahun dulu anda boleh memiliki Elgrand E52 terus dari bilik pameran Nissan. ETCM melancarkan Elgrand pada April 2012 dan menariknya disusuli model facelift pada Mei 2014.
Hanya satu jenis enjin ditawarkan iaitu 3.5L V6 yang dijual pada harga RM388,000 (tidak termasuk insurans).
Walaupun harga tersebut tinggi namun ia sebenarnya setara dengan sedan mewah buatan Jerman. Memiliki Elgrand adalah alternatif yang baik untuk mereka yang kurang menggemari sedan.
Di Jepun Nissan memperkenalkan Elgrand E52 pada Ogos 2010. Sejarah MPV mewah ini bermula pada tahun 1997 dan diganti dengan generasi kedua pada tahun 2002.
Elgrand dipuji pelanggan kerana keselesaan, gaya dan prestasi pemanduan. Jika dibandingkan dengan Alphard atau Vellfire, Elgrand mempunyai karakter tersendiri.
Konsep di sebalik Elgrand E52 ialah Dynamism and Luxury you can feel dan ia dizahirkan melalui bahagian luar dan dalam.
Model ini mengekalkan identiti Elgrand asal iaitu lampu utama bertingkat serta bahagian depan dan gril depan disatukan dan menarik perhatian.
Satu lagi ciri utama Elgrand ialah rekabentuk badan yang rendah dan lebar bagi menampakkan kestabilan dengan garisan dinamik dari depan hingga ke sisi.
Ciri ini adalah perbezaan yang jelas di antara Elgrand dengan Alphard atau Vellfire.
Menggerakkan Elgrand ialah dua pilihan enjin iaitu 3.5 liter V6 VQ35DE dengan kuasa 280PS pada 6,400 rpm dan tork 344Nm pada 4,400 rpm.
Satu lagi pilihan ialah 2.5 liter QR25DE dengan kuasa 170PS pada 5,600 rpm dan tork 245Nm pada 3,900 rpm.
Enjin tersebut dipadankan bersama transmisi Xtronic CVT-M6 yang telah diperbaharui.
Selain pacuan 2WD, Elgrand turut ditawarkan dengan pacuan 4WD dan ada dibawa masuk ke pasaran tempatan dan meskipun begitu, ia sukar (rare) untuk ditemui.
Satu lagi ciri menarik ialah Elgrand didatangkan dengan tayar YOKOHAMA dB (decibel) bagi mengurangkan tahap getaran dan bunyi jalan raya. Tayar 18 inci yang digunakan itu mempunyai kadar bunyi jalan seperti 16 inci.
Berikut pula ialah ciri-ciri keselamatan pada Nissan Elgrand E52:
- Kawalan Jelajah Pintar (350Highway STAR Premium, 350Highway STAR manufacturer option)
- VDC (Kawalan Dinamika Kenderaan) (Termasuk TCS)
- ABS (Sistem Anti Brek Kekunci) + Bantuan Brek + EBD (Kawalan Daya Pengagihan Brek Elektronik)
- Bantuan Brek Pintar (350Highway STAR Premium, 350Highway STAR manufacturer option)
- Beg udara (SRS) pemandu dan penumpang sisi
- Beg udara (SRS) kerusi pemandu dan penumpang sisi
- Beg udara (SRS) sisi (curtain)
- Cangkuk kerusi kedua (ISO FIX) untuk kerusi kanak-kanak pada kanan dan kiri
Memasuki tahun kesembilan, Elgrand masih dijual di Jepun dan pengguna tempatan boleh memilikinya dari syarikat pengimport bebas. Harga yang ditawarkan adalah sekitar RM150,000 hingga RM180,000 untuk model facelift dan bergantung pada tahun dibuat.
Walaupun ETCM sudah menghentikan jualan Elgrand, wakil tempatan tersebut memang kental dengan MPV sejak dari dulu lagi. Terdapat pelbagai varian unit baharu Nissan Serena yang anda boleh beli dari bilik pameran.
BACA: PADA 2002 NISSAN ELGRAND E51 DIPERKENAL, SAINGAN TOYOTA ALPHARD
BACA: 5 MPV SAIZ PENUH YANG ANDA BOLEH MILIKI DENGAN RM50,000 – PILIHAN MEKANIKA
BACA: PADA 2013 HONDA ODYSSEY RC1 DIPERKENAL, TURUT DIJUAL DI MALAYSIA