,
Artikel PilihanBuletin

PADA 2013 HONDA ODYSSEY RC1 DIPERKENAL, TURUT DIJUAL DI MALAYSIA

Jika anda sedang membuat tinjauan untuk memiliki MPV import, banyak model yang boleh disenarai pendek. Harga mahal, murah, sederhana dan tujuh atau lapan tempat duduk.

Di antara model yang berada pada harga pertengahan ialah Honda Odyssey RC1 (generasi kelima). Harga unit terpakai yang diimport dari Jepun sekitar RM140,000 hingga RM150,000.

Untuk mereka yang mahukan unit baharu dengan waranti lengkap, Honda Malaysia turut menawarkannya pada harga sekitar RM255,000. 

Odyssey generasi kelima diperkenalkan di Jepun pada 31 November 2013 dan Honda Malaysia pula menyusul dengan cemerlang apabila melancarkannya di pasaran tempatan selang dua minggu selepas itu.

Berbeza dengan generasi pertama sehingga keempat, model baharu itu tampil dengan rekabentuk lebih luas dan dilihat barulah sepadan untuk bersaing dengan Toyota Estima.

Odyysey generasi sebelum itu hadir dengan bentuk lebih rendah dan cenderung kepada wagon yang mempunyai tujuh tempat duduk. Odyssey RC1 juga dilengkapi pintu sisi gelungsur berbanding jenis ayun sebelum itu.

Satu lagi fakta menarik ialah Odyssey mempunyai dua bentuk berbeza, satu untuk pasaran Asia dan satu lagi untuk Amerika Syarikat dengan saiz lebih besar.

Sama ada model recond Jepun atau dari Honda Malaysia, Odyssey ditawarkan dengan satu sesaran enjin 2.4L K24W i-VTEC sahaja. Enjin itu dipadankan bersama transmisi CVT.

Di Jepun, terdapat beberapa varian yang dibahagikan kepada dua gred utama iaitu Odyssey (B, G, G EX) dan Odyssey Absolute (Absolute, Absolute EX). Varian paling premium ialah Absolute EX 4WD dengan lapan kerusi.

Perbezaan ketara untuk model Jepun ialah pilihan pacuan 2WD depan atau 4WD yang merupakan satu keperluan di sana terutama sekali di dalam musim salji. Di Jepun juga turut ditawarkan dengan nadi kuasa hibrid.

Honda menyusun Odyssey dengan cara tersendiri. Jika di AS rekabentuk dan saiznya berbeza, di China pula Odyssey dijadikan sebagai asas untuk Honda Elysion generasi kedua.

Elysion asalnya ialah MPV saiz besar yang bersaing dengan Toyota Alphard, Vellfire dan Nissan Elgrand.

Elysion generasi kedua untuk pasaran China dilancarkan pada 2016 dan mempunyai beberapa perbezaan ketara dengan Odyssey RC1 iaitu pada bahagian depan dan belakang.

Honda Odyssey facelift

Pada November 2017, Honda melancarkan Odyssey facelift di pasaran Jepun dengan bahagian depan baharu dan teknologi bantuan pemanduan Honda Sensing.

Honda Malaysia tidak menunggu lama dan pada Februari 2018 melancarkan model facelift yang turut dilengkapi Honda Sensing. Sewaktu pelancaran ia dijual pada harga RM254,800.

Berdasarkan pengamatan kami, model facelift ini masih eksklusif dipasarkan oleh Honda Malaysia. Kami belum terserempak dengan unit recond dari Jepun.

Jika ditanya secara peribadi, apakah keistimewaan Odyssey?

Jawapannya ialah pada kerusi kapten Ottoman yang selesa dan mewah, saiz badan yang sedang elok dan ia pengganti baik buat peminat Honda yang tidak mahu beralih kepada MPV jenama lain.

Jika anda seorang pemandu sedan atau SUV Honda, tidak susah untuk membiasakannya kerana ia hanya Honda bersaiz besar. 

Odyysey sekarang ini berada dalam tahun keenam di pasaran dan jika mengikut kitaran produk normal ia sepatutnya mempunyai model gantian.

Kami tidak pasti apakah perancangan seterusnya untuk Odyssey pasaran Asia, adakah ia mempunyai pengganti atau adakah Honda akan menggunakan satu model sahaja untuk pasaran global.

Satu perkara menarik untuk diperhatikan memandangkan Toyota sudah menghentikan MPV saiz sederhana iaitu Estima.

BACA: PADA 2014 HONDA FIT SPOON INI DIBAWA KE SEMA, AMERIKA SYARIKAT

BACA: PADA 2008 TOYOTA ALPHARD DIPISAH 2, JADI VELLFIRE SAMPAI SEKARANG

BACA: PANDU UJI: HONDA CIVIC FACELIFT 2019, APA YANG BARU?

Tags
Google ads
Back to top button