,
Pandu Uji

PANDU UJI: HONDA CIVIC FACELIFT 2019, APA YANG BARU?

Ketika semakin ramai pengguna mula beralih minat kepada SUV atau crossover, antara segmen yang paling terjejas ialah sedan segmen C dan D. 

Perubahan trend tersebut membuatkan kebanyakan pengeluar kenderaan tidak lagi menumpukan sepenuh perhatian kepada sedan, sebaliknya sibuk menghasilkan lebih banyak model SUV. 

Biarpun begitu, Honda nampaknya masih yakin dengan kemampuan sedan segmen C miliknya, Civic yang memonopoli pasaran khususnya di Malaysia. Sejak bertahun-tahun, Civic seakan-akan tidak dicabar dan selesa mengungguli carta jualan. 

Sedia maklum bahawa Honda Civic generasi ke-10 mempunyai semua ramuan yang dimahukan oleh pengguna. Reka bentuk yang sporty, rangkaian kuasa termaju, sistem keselamatan dan kualiti pengendalian mantap. 

Memandangkan Mazda telah melancarkan Mazda3 dan Toyota baru sahaja memperkenalkan Corolla, sudah tiba masanya untuk Civic tampil dengan model facelift sebelum generasi ke-11 diperkenalkan.

Untuk itu, Honda Malaysia menjemput sekumpulan wartawan ke Bangkok untuk melihat secara dekat dan memandu uji Civic facelift 2019 di sana. 

Sekali pandang, seperti tiada perubahan ketara yang dapat dikesan pada Civic generasi ke-10 ini. Tetapi, apabila diteliti, sebenarnya ada beberapa penambahbaikan yang dibuat.

Untuk bahagian luaran, ia kini didatangkan dengan bar berwarna hitam, menggantikan warna krom pada model sebelum ini. 

Bampar hadapan juga dilengkapi sepasang lampu LED, perumah lampu kabus rekaan baru dan sensor parkir.

Di belakang, ia menerima spoiler yang lebih panjang dan kemasan krom pada bahagian bawah untuk memberikan gayaan sporty dan nampak lebih lebar. Untuk pasaran Malaysia, versi facelift akan hadir dengan rim rekaan baru bersaiz 18 inci. 

Di ruang kabin, perubahan paling ketara ialah penggunaan paparan skrin yang lebih besar. Bahagian kanan stereng juga dihuni oleh butang untuk mengaktifkan ciri Adaptive Cruise Control.  

Dari segi kosmetik, itu sahaja perubahan yang diterima oleh Civic 2019. Namun, apa yang lebih penting ialah sedan tersebut kini didatangkan dengan pakej keselamatan Honda SENSING. Honda SENSING terdiri daripada: 

  • Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Low Speed Follow (LSF)
  • Forward Collision Warning (FCW)
  • Collision Mitigation Braking System (CMBS)
  • Lane Keep Assist System (LKAS)
  • Road Departure Mitigation (RDM)
  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Auto High-Beam (AHB)

Bukan itu sahaja, Civic juga dipasang dengan kamera Honda LaneWatch. Sama seperti yang ada pada model lebih mahal seperti Accord dan Odyssey, Honda Lanewatch berfungsi memaparkan kondisi trafik yang ada dalam titik buta apabila lampu isyarat membelok sebelah kiri diaktifkan.

Ciri ini sangat berguna kerana pemandu boleh melihat dengan jelas sebelum menukar haluan atau memasuki simpang. 

Bagi menjadikan sedan itu semakin selamat, pelbagai ciri keselamatan termasuklah 6 beg udara, Vehicle Stability Assist (VSA), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Electronic Brake Distribution (EBD), Brake Assist (BA), Emergency Stop Signal (ESS), Hill Start Assist (HSA), kamera undur multi-sudut  dan ISOFIX didatangkan sebagai ciri standard. 

Kami berpelung untuk menguji dua ciri keselamatan iaitu Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Low Speed Follow (LSF) dan Collision Mitigation Braking System (CMBS) di tapak ujian Pusat pemanduan Selamat Honda di kemudahan pemasangannya di Prachin Buri. 

Selepas tamat sesi ujian, kami memandu Civic RS (varian paling tinggi di pasaran Thailand) menuju ke Bangkok menempuh perjalanan yang mengambil masa sekitar tiga jam.

Apa yang boleh saya katakan, feel pemanduannya masih sama dan memuaskan. Civic 2019 masih menggunakan khidmat enjin 1.5 liter turbo berkuasa 173PS dan tork 220Nm yang dipadankan bersama kotak gear automatik CVT. 

Cuma, dengan adanya Honda SENSING, saya berasa lebih yakin dan selamat. Apatah lagi, hujan lebat membasahi jalan sepanjang perjalanan pulang ke hotel.

Kesesakan jalan raya di Bangkok juga rasa kurang memenatkan apabila ciri Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Low Speed Follow (LSF) diaktifkan. 

Alangkah bagusnya jika semua kereta mempunyai ciri ini. Kurang sedikit tekanan sewaktu memandu kerana anda hanya perlu mengawal stereng dan kaki boleh berehat sepenuhnya. 

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, anda sudah boleh menempah Civic Facelift yang dijangka dilancarkan secara rasmi bulan depan. 

Dengan penambahan Honda SENSING dan beberapa naik taraf kosmetik, harga Civic facelift dijangka naik sedikit. Tetapi jangan bimbang, ia tetap menjadi satu pembelian yang berbaloi. 

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button