Buletin

PANDU BAS PELANCONG LAGI PADU BERBANDING SIMULATOR – VETTEL

Sebastian Vettel berseloroh memandu bas pelancong di bandar Manama boleh membuatkan mereka menjadi lebih baik berbanding menggunakan simulator untuk menyesuaikan diri dengan jentera Formula Satu (F1) 2022 terutama ketika di litar yang sukar seperti Monaco.

Jentera musim ini direka bentuk bagi menyesuaikan diri dengan peraturan baru yang sangat radikal selepas beberapa dekad dan ia bertujuan membolehkan pemandu lebih rapat mengekori antara satu sama lain sekali gus meningkatkan keterujaan perlumbaan.

Bagaimanapun, dengan daya bahagian bawah yang lebih besar, perubahan itu mengakibatkan jentera mereka berdepan kesukaran walaupun melalui selekoh luas apatah lagi yang sempit.

Dengan berat sekurang-kurangnya 795 kilogram (kg) bersama pemandu di dalamnya, ia dijangka meningkat sehingga 798kg sebelum saingan musim ini bermula, ia sangat lebar sehingga membuatkan mereka berasa janggal ketika di selekoh tajam.

“Mungkin ia lebih baik kami cuba untuk membawa bas di dalam bandar daripada menggunakan simulator sebelum menyiapkan persiapan.

“Jentera sekarang ini berbeza. Perkara pertama yang menonjol ialah beratnya, jenteranya jauh lebih berat, ia hanya lebih inersia, lebih jisim, jadi kami perlu menyesuaikan diri,” kata pemandu Aston Martin itu yang juga juara dunia empat kali. – HM/PlanetF1

Google ads
Back to top button