Buletin

PANDU SEJAUH 160KM UNTUK BELI BURGER MCDONALDS, WANITA DI UK DISAMAN RM1,104

Seorang wanita di United Kingdom disaman sebanyak £200 (RM1,104) kerana memandu sejauh 160km untuk membeli hidangan di McDonalds, ketika negara itu menguatkuasakan larangan pergerakan demi memutuskan rantaian COVID-19.

Menurut akhbar Evening Standard, Wanita berusia 30-an itu dikatakan memandu dari Lincolnshire ke Scarborough untuk menikmati burger bersama adik perempuannya.

Inspektor polis Yorkshire Utara, Rachel Wood memberitahu wanita berkenaan telah melanggar larangan yang hanya membenarkan pergerakan penting sahaja.

“Memandu merentasi tiga daerah untuk membeli burger bukanlah perjalanan yang penting. Kebanyakan orang di Yorkshire Utara berusaha sedaya upaya untuk menghentikan jangkitan COVID-19 dalam komuniti dan melindungi golongan berisiko.

“Apabila pandemik ini berakhir, mereka boleh keluar ke mana sahaja, bila-bila masa,” kata Wood.

Wanita itu bukanlah satu-satunya individu yang dikenakan saman. Media UK melaporkan hampir 45,000 saman telah dikeluarkan ke atas mereka yang melanggar undang-undang COVID-19.

Ketua Polis UK, Martin Hewitt menegaskan bahawa pihak polis tidak lagi akan membuang masa untuk mendengar alasan golongan yang mementingkan diri sendiri ini.

UK mencatat lebih 3.2 juta kes jangkitan COVID-19 sehinga kini dengan 86,000 kematian, paling tinggi di Eropah.

Google ads
Back to top button