Artikel Pilihan

SEGALANYA TENTANG PORSCHE CAYMAN 718.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas sebuah jentera dari jerman yang boleh dikategorikan sebagai Entry Level Supercar.

Jentera yang disebutkan ini adalah Porsche Cayman generasi ke-4 dengan kod 982. Eh, kenapa 982 ? Kata 718 ? Mana yang betul ?

Sebenarnya kod model jentera ini adalah 982. Seperti yang kita tahu Porsche memang bermain dengan angka bagi memberi nama pada setiap jentera buatan mereka.

Nama 718 ini merupakan nama komersial yang diambil sempena model Porsche 718 yang pernah memenangi perlumbaan Targa Florio Race pada tahun 1959 dan tahun 1960.

Jentera ini diperkenalkan pada tahun 2016 di Geneva Motor Show. Rekaan jentera ini dibuat oleh Mr. Peter Varga. Sampai disini mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa Boxster dan Cayman menggunakan kod yang sama ?

Sebenarnya kedua-dua model ini sama sahaja. Boxster bagi varian Cabriolet yang bermakna bumbung boleh buka. Cayman pula merupakan sebuah Coupe dimana bumbungnya tidak boleh dibuka. Bahagian lain semuanya sama.

Jentera ini mempunyai pelbagai varian. Varian adalah seperti berikut :-

– Cayman/Boxster
– Cayman S/Boxster S
– Cayman GTS/Boxster GTS
– Cayman GT4
– 718 Spider

Sekarang kita pergi kepada jantung jentera ini iaitu enjin. Bagi model Cayman/Boxster, model ini menggunakan enjin bersesaran 1,988cc(2.0L) berkod MA2.20 Flat-4 Turbo yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 296hp pada 6,500rpm dan 380Nm daya kilas pada 1,950rpm.

Cepat beb peak Torque dia sampai. Porsche memecahkan tradisi merekabdengan memperkenalkan enjin Flat-4 ini dimana model-model Porsche sebelum ini lebih sinonim dengan Flat-6. Mungkin ada yang berkata enjin Flat-4 Porsche ini boleh pakai ke ? Bagus ke ?

Porsche ada jawapannya !

Enjin Flat-4 2.0L Porsche ini memenangi anugerah International Engine Of The Year bagi kategori 1.8L to 2.0L pada tahun 2017. Hal ini bermakna enjin ini merampas takhta daripada Mercedes Benz AMG M133 yang memenanginya pada tahun 2017. Enjin M133 ini merupakan enjin yang duduk di dalam ruangan enjin A45/CLA45 dan GLA45.

Sekarang kita pergi pula kepada varian Cayman S/Boxster S. Varian ini dilengkapi oleh enjin bersesaran 2,497cc(2.5L) Flat-4 Turbo berkod MA2.22 yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 345hp pada 6,500rpm dan 420Nm daya kilas pada 1,900-4,500rpm.

Nak kuat lagi ? Porsche ada jawapan.

Porsche turut memperkenalkan varian Cayman GTS/Boxster GTS dengan enjin yang sama dengan model S, tetapi penalaan dilakukan untuk mendapat kuasa output yang lebih. Hasilnya, 365hp pada 6,500rpm dan 430Nm pada 1,900-4,500rpm.

Tak cukup lagi ? “Kau tunggu” Porsche kata.

Varian Cayman GT4 dan Spider diperkenalkan bagi menyantuni kipas susah mati Porsche. Nak laju sangat kan ? Varian GT4 dan Spider ini dibekalkan dengan enjin bersesaran 3,995cc(4.0L) Flat-6 NA yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 414hp pada 7,600rpm dan 420Nm daya kilas pada 5,000-6,800rpm. Varian ini hanya didatangkan dengan kotak gear manual 6-kelajuan sahaja. Tiada PDK ye Tuan-Tuan. Nak rasa sangat “Real Power” kan ? Ni makan dia. Haha !

Sudah jelas bab enjin, kita pergi kepada prestasi jentera ini. Kita mulakan dengan pecutan 0-100km/ dahulu.

– Cayman/Boxster(PDK) – 4.9 saat
– Cayman S/Boxster S(PDK) – 4.4 saat
– Cayman GTS/Boxster GTS(PDK) – 4.2 saat
– GT4/Spider(Manual) – 4.4 saat

Cepat bukan ? Sekarang kita pergi ke kelajuan tertinggi yang direkodkan.

– Cayman/Boxster – 275km/h
– Cayman S/Boxster S – 285km/h
– Cayman GTS/Boxster GTS – 290km/h
– GT4/Spider – 304km/h

Laju semua ni Tuan-Tuan, jikalau nampak jentera-jentera ini di lebuhraya dan anda memotong mereka pada kelajuan 220km/h janganlah cepat terasa bangga. Takut mereka sedang memandu santai sahaja, atau sedang “release throttle”.

Habis bab enjin dan prestasi.

Dari segi rekaan, jentera ini tidaklah jauh berbeza dari model sebelumnya. Lebih kepada evolusi daripada rombakan sepenuhnya. Sebenarnya semua model Porsche dari dulu sampai sekarang tidak jauh bezanya.

Kenapa ?

Kerena Porsche bukan sahaja jual kereta. Mereka jual impian, keinginan serta legasi. Ketika anda kecil, mungkin anda minat akan rekaan Porsche 986, namun zaman telah berubah. Tidak mungkin Porsche akan terus mengeluarkan model yang sama selama lebih 20 tahun.

Oleh itu, mereka hanya berevolusi dengan rekaan dimana asasnya tetap sama. Serta dengan ciri-ciri keselamatan, hiburan dan keselesaan mengikut peredaran zaman. Jadi selepas 20 tahun, anda masih mampu untuk memiliki jentera yang anda impikan pada 20 tahun yang lepas, namun dengan ciri-ciri yang lebih moden, selamat serta laju.

Sistem suspensi jentera ini menggunakan sistem Multilink bagi suspensi depan dan belakang. Perlu diingat, jentera ini meletakkan enjinnya di bahagian tengah jentera. Oleh itu, pengendalian jentera ini adalah sangat mantap. Nisbah berat jentera ini hampir seimbang.

Mungkin ada yang tahu, mungkin ada yang tak tahu. Pada yang tak tahu, pengendalian jentera Porsche adalah sangat mengujakan. Memang meyakinkan untuk menyelusuri selekoh-selekoh tajam tanpa gagal. Kalau tak percaya tanya kawan-kawan yang bawa Porsche atau pandu uji sendiri.

Selesa atau tidak ?

Bagi saya kekerasan sistem suspensi ini masih boleh diterima memandangkan jentera ini adalah sebuah kereta sukan. Jadi faktor keselesaan boleh dikatakan masih ada. Bukan tiada langsung.

Dari segi keselamatan, jentera ini dilengkapi dengan Front Impact Airbag, Side Impact Airbag dan juga Overhead Airbag. Kawalan brek dibantu oleh sistem ABS dengan bantuan EBD serta BA. Sistem Traction Control turut dilengkapi sebagai ciri asas.

Unit hiburan jentera ini dilengkapi dengan skrin 7 inci sebagai ciri asas. Ia menyokong fungsi radio, Bluetooth dan juga Apple CarPlay. Android Auto minta maaf, bab ni Porsche tak bagi. Sistem Audio jentera ini menggunakan unit asas dari Porsche sendiri dan unit dari jenama Bose sebagai pilihan.

Kemasan dalaman adalah berbeza bagi setiap varian. Tapi apa yang boleh dikatakan hanyalah satu ayat. KEMAS. Jika anda berada di dalam kabin, susun aturbyang kemas ini membolehkan anda fokus kepada pemanduan anda. Nampak remeh, namun perkara ini memberi kesan sebenarnya kepada fokus pemanduan. Syabas Porsche.

Jadi inilah dia Tuan-Tuan. Sebuah jentera hebat dari negara Jerman. Jentera ini merupakan sebuah jentera yang perlu dihormati. Kerana apa ?

Kerana jentera ini memberikan karisma kepada sesiapa sahaja yang memandunya. Memang lain perasaannya memandu sebuah Porsche jika dibandingkan dengan jenama lain. Mungkin ada diantara anda yang tidak minat dengan Porsche, namun harus menelan hakikat bahawa jentera ini merupakan jentera yang mewah, bergaya serta laju.

GALERI

Google ads
Back to top button