Buletin

PASPORT JEPUN PALING POWER. BOLEH AKSES KE 191 DESTINASI SELURUH DUNIA

Menurut Indeks Pasport Henley, pasport Jepun kini menjadi dokumen perjalanan paling berkuasa di dunia.

Indeks berkenaan tidak mengambil kira sekatan sementara yang menjadikan negara matahari terbit itu sekali lagi mendahului negara lain. Pasport itu membolehkan warga Jepun mengakses tanpa visa atau visa ke 191 destinasi di seluruh dunia.

Covid-19 bagaimanapun mengubah secara total landskap perjalanan dan mungkin mengambil masa beberapa dekad untuk kembali normal.

Negara seluruh dunia kini mengenakan sekatan perjalanan dan mungkin mewajibkan suntikan vaksin sebelum perjalanan udara dibenarkan.

Pasport Singapura pula berada di kedudukan kedua yang membolehkan pemegangnya masuk ke 190 negara. Ia diikuti Korea Selatan bersama Jerman di tangga ketiga dengan 189 negara.

Pasport milik New Zealand pula berada di tempat keempat dengan akses ke 185 buah negara. Manakala jirannya, Australia dengan akses ke 184 destinasi.

Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan negara Kesatuan Eropah (EU) secara tradisinya mengenakan syarat ketat kepada negara Asia. Namun pakar menjelaskan kekuatan wilayah Asia lebih baik kerana menjadi negara terawal mengawal pandemik.

Kes Covid-19 kini dilihat semakin meningkat di kedua-dua negara tersebut. Malah UK kini dikesan menjadi pusat penularan varian terbaharu wabak itu. Sekatan sementara perjalanan menjadikan AS dan UK berada pada tangga ketujuh dalam senarai Indeks Henley.

Realitinya, pemegang pasport AS sekarang hanya boleh memasuki kurang 75 negara, manakala UK pula kurang daripada 70 negara.

Malaysia pula berada di tangga ke-14 dengan akses ke 178 buah negara. Selain Singapura, jiran terdekat dalam rantau Asia Tenggara dengan akses paling tinggai ialah Brunei di kedudukan ke-22 (166 negara).

Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah pun menandatangani beberapa perjanjian pengecualian visa termasuk AS termasuk akses tanpa visa dengan Israel.

Ini membolehkan UAE berada di kedudukan ke-16 dengan perjalanan tanpa visa dan visa ke 173 destinasi. Jumlah itu meningkat berbanding tahun 2006 apabila hanya 35 destinasi dibenarkan.

Sementara itu, Afghanistan berada di senarai paling bawah apabila pasport warganya hanya boleh masuk ke 26 buah negara. Ia diikuti oleh Iraq (28 negara), Syria (29), Pakistan (32), Somalia dan Yaman (33) Palestin (37), Libya dan Nepal (38) serta Korea Utara (39). – Harian Metro

Google ads
Back to top button