,
Buletin

CARLOS GHOSN LARI KE LUBNAN GUNA PASPORT PERANCIS, MENYOROK DALAM BEKAS ALAT MUZIK

Bekas ketua Nissan, Carlos Ghosn mengejutkan dunia apabila dilapor melarikan diri ke Lubnan menggunakan bekas alat muzik yang dimasukkan ke dalam sebuah pesawat peribadi. 

Kedengaran seperti sebuah filem gred B bajet rendah, usaha melarikan diri itu dilakukan dengan bantuan individu yang menyamar sebagai kumpulan muzik untuk membuat persembahan di rumah Ghosn di Tokyo. 

Menurut laporan MTV Lubnan, kumpulan tersebut meninggalkan kediaman itu selepas tamat persembahan. Pihak berkuasa Jepun yang mengawal rumah Ghosn tidak menyedari bahawa dia menyorok di dalam sebuah bekas alat muzik, sebelum terbang ke Lubnan menerusi lapangan terbang tempatan. 

Ghosn dipecat daripada jawatannya selepas didakwa terlibat dalam jenayah kewangan dan meletakkan kerugian pelaburan peribadi ke atas Nissan. Selepas ditahan beberapa bulan di dalam penjara di Jepun, dia kemudian dibebaskan dengan jaminan sebanyak AS$9 juta (RM32 juta) pada April lalu dan dikenakan tahanan rumah. 

Sebagai sebahagian daripada syarat jaminan, dia dilarang daripada berhubung dengan isterinya selama tujuh bulan. 

Menurut Ghosn, dia pergi ke Lubnan bukan hendak melarikan diri daripada keadilan. Sebaliknya mengelak daripada ketidakadilan dan hukuman berbaur politik di Jepun. 

Ghosn kini dilapor berada di Beirut dan telah berjumpa dengan Presiden Lubnan, Michel Aoun yang memberinya perlindungan. “Saya sekarang berada di Lubnan dan tidak lagi ditahan oleh sistem keadilan Jepun yang tidak adil, di mana anda sudahpun didapati bersalah, diskriminasi dan hak kemanusiaan dinafikan,” kata Ghosn daam satu kenyataan. 

MTV memberitahu Ghosn memasuki Lunban menggunakan pasport Perancis, sedangkan peguamnya mendakwa memegang ketiga-tiga pasport (Perancis, Lubnan dan Brazil) miliknya. Biarpun dia menerima sokongan di Lubnan, masih belum jelas sampai bila ia mampu bertahan.

Peguam Ghosn, Junichiro Hironaka menyatakan tindakan anak guamnya itu tidak boleh dimaafkan. Dia juga mempersoalkan bagaimana dan kenapa Ghosn melakukan perkaran ini ke atas pasukan peguamnya. Hironaka juga menafikan terlibat dalam tindakan tersebut. 

Persoalan yang timbul sekarang adalah bagaimana Ghosn boleh mendapatkan pasport dan melepasi sekatan keselamatan lapangan terbang untuk menaiki sebuah pesawat peribadi ke Turki sebelum mendarat di Lubnan. 

Pengarah Keselamatan Lubnan kemudian mengesahkan yang Ghosn telah memasuki negara itu secara sah dan tidak akan dikenakan sebarang tindakan. 

Jepun tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Lubnan. Jadi, masih tidak jelas apakah langkah yang akan diambil oleh pihak berkuasa. 

Ghosn sebelum ini mengulangi tidak melakukan sebarang salah laku dam mendakwa semua tuduhan itu direka untuk menghalang penggabungan penuh di antara Nissan dan rakan pakatannya, Renault.  

Tags
Google ads
Back to top button