,
Artikel Pilihan

BICARA TEKNIKAL: TOYOTA NEW GLOBAL ARCHITECTURE

Tidak dapat dinafikan yang produk keluaran Toyota adalah contoh konvensional bagaimana kejuruteraan automotif dibuat untuk memenuhi keperluan besar pasaran dunia. Secara relatif ia masih lagi murah, menjimatkan, tahan lasak, senang untuk diservis, tak banyak karenah dan kalau dijual semula, harganya tinggi jika dibandingkan dengan jenama lain.

Namun itu semua tidak menjamin yang produk Toyota seronok dipandu. Toyota terlalu konvensional sehingga mengabaikan keseronokan pemanduan. Perkara ini disedari oleh mendiang Hiromu Naruse iaitu salah seorang pemandu ujian paling berpengalaman dalam organisasi Toyota/Lexus. Bagi Naruse, kebanyakan produk Toyota bagus tapi tidak mempunyai jiwa dan semangat kelajuan kerana ia mungkin akan dipandu oleh akauntan yang selekeh atau guru sekolah pencen.

Sebaik sahaja Akio Toyoda menerajui kumpulan Toyota/Lexus, perkara pertama yang dibuat oleh Naruse ialah memberi kata-kata cabaran “saya tidak akan menerima arahan daripada ketua yang tidak tahu memandu”. Naruse memberi tunjuk ajar kepada Toyoda bagaimana untuk berfikir dan memandu secara professional dan berjaya memujuk Toyoda untuk membangunkan kereta sport yang seronok dipandu.

Kelahiran model halo seperti Lexus LFA, GT 86 dan Supra menjadi penanda aras kepada hala tuju yang baru pada Toyota untuk menjadi sebuah syarikat automotif yang bukan sahaja paling dipercayai malah seronok dipandu. Selaras dengan itu mereka merombak semua aspek kejuruteraan produk mereka bermula dari kerangka sehinggalah kepada enjin.

Penulis masih ingat sewaktu belajar dulu kami perlu menganalisa struktur ringkas kenderaan namun analisis tersebut memerlukan kami menggunakan komputer dengan pemprosesan yang pantas serta perisian Nastran. Mereka bentuk kerangka atau cesi kenderaan bukanlah semudah mencantumkan besi dengan kaedah kimpalan semata-mata namun ia melibatkan analisa daya yang bertindak pada struktur terbabit

Toyota memberikan visi yang jelas semasa proses pembinaan cesi baru yang dikenali dengan nama Toyota New Global Architecture iaitu cesi tersebut mestilah kuat dari segi komponen dan sub strukturnya yang lain. Namun pada masa yang sama ia mestilah memiliki rekaan luar yang berbeza walaupun cesinya sama.

Langkah pertama yang dibuat oleh Toyota ialah dengan merendahkan pusat graviti dengan bantuan rekaan unit trenkuasa baru yang lebih efisyen dan kecil. Ini membantu cesi TNGA mengambil selekoh dengan lebih baik dimana olengan cesi menjadi semakin minima berbanding dengan cesi lama.

Ketegaran cesi pula dipertingkatkan dengan penggunaan material aloi yang lebih baik serta kaedah penyambungan yang lebih sempurna. Jurutera memberi tumpuan yang lebih banyak pada kerangka tepi dan juga sambungan tengah (cross member) antara kerangka tepi agar torsional rigidity semakin bertambah. Malah bagi model Altis, besi penyokong papan pemuka turut bertindak sebagai cross member bagi mengukuhkan kerangka pada bahagian depan

Lupakan saja stigma pengendalian seperti sampan, cesi TNGA juga membakul sampahkan suspensi torsion beam bagi memberi laluan kepada suspensi dengan geometri double wishbone. Dari segi hierarki, suspensi ini memiliki kelebihan yang sangat baik berbanding dengan suspensi multi-link. Salah satunya ialah ia memiliki dua lengan yang memegang tayar pada setiap masa. Jika tayar memijak bonggol, tayar ini akan naik secara menegak bukannya secara senget seperti strut McPherson

Apabila cesi ini dibangunkan, ia turut digandingkan dengan teknologi Toyota Safety Sense sebagai pakej keselamatan aktif yang akan sentiasa memantau keadaan pemanduan dan mengelakkan bahaya. Sistem Amaran Pra-Perlanggaran, Sistem Brek Pra-Perlanggaran, Sistem Pemantauan Pemanduan Lorong, Sistem Lampu Tinggi Automatik, dan Sistem Amaran Titik Buta turut dilengkapkan pada cesi TNGA ini. Sebagai tambahan ia turut dilengkapi dengan Dinamik Radar Cruise Control yang akan membantu mengurangkan beban pemanduan di lebuh raya

Jika itu tidak mencukupi, cesi Toyota Camry yang menggunakan TNGA telahpun diuji secara menyeluruh oleh New Car Assessment Programme, New Highway Traffic Safety Administration dan Insurance Institute for Highway Safety. Dalam satu video yang dibuat, semua pintu Camry masih boleh dibuka seperti biasa selepas berlakunya kemalangan. Ini akan membantu pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa kemalangan dengan pantas sekiranya berlaku kemalangan. Rahsianya ialah laluan impak akibat kemalangan akan disalurkan kepada beberapa khas agar integirti cesi kekal sewaktu impak.

Dari segi ergonomik, Toyota berupaya untuk mewujudkan posisi pemanduan yang ideal agar kelesuan ketika memandu dapat dikurangkan. Kedudukan kerusi, roda steering, tombol gear dan juga sudut pedal minyak telah disukat dengan tepat agar ia lebih lebih selesa buat pemandu. Malah Toyota bertindak dengan lebih jauh apabila jurutera mereka merendahkan hud depan agar penglihatan pemandu lebih meluas. Bila bumbung, hud depan dan belakang menjadi rendah, dari jauh cesi TNGA akan menjadikan sedan lebih sporti berbanding dengan model lama

Dari segi keselesaan, Toyota memberi penekanan pada penggunaan bahan kedap bunyi yang lebih baik agar bunyi dari luar tidak menerobos masuk ke bahagian dalam kabin. Bunyi enjin dan getaran juga telah dikawal dengan rekaan cagak enjin yang lebih baik. Bagi model hibrid, modul bateri dan sistem bateri yang lebih kompak membolehkan jurutera menyimpan sistem di bawah kusyen belakang. Ruang kargo yang lebih luas berjaya dicapai dengan susunan komponen sistem suspensi di hadapan gandar

Melalui cesi TNGA ini, Toyota berjaya menghasilkan cesi dengan pusat graviti yang lebih rendah, ketegaran cesi ditingkatkan antara 30-65%, penglihatan hadapan yang lebih baik, respon stering yang cemerlang, dan pengendalian di selekoh yang lebih sedap berbanding dengan model lama.

Tags
Google ads
Back to top button