Artikel Pilihan

TEKNOLOGI GVC – RAHSIA PENGENDALIAN LUAR BIASA DARI MAZDA

Apakah yang anda bayangkan bila saya sebut berkenaan vehicle dynamic atau dalam bahasa Melayu sebutannya Dinamik Kenderaan? Adakah ia sama dengan aerodinamik?

Sebenarnya Vehicle Dynamic adalah satu kajian bagaimana kenderaan bertindak balas apabila pemandu memberikan input seperti membuat pecutan, membrek, dan input roda stereng.

Secara asasnya, kita belajar bagaiman untuk berkomunikasi dua hala dengan kereta melalui input dan juga output pergerakan yang dihasilkan oleh kereta. Komunikasi ini akan membentuk satu karakteristik yang diinginkan oleh jurutera.

Sebagai contoh, kereta untuk anak anak muda mestilah mempunyai karekter bersifat agresif/perlumbaan dan keselesaan bukanlah aspek yang utama.

Bagi sebuah kenderaan keluarga, aspek keselesaan dan bunyi yang senyap adalah lebih penting berbanding dengan bunyi ekzos perang dan sistem penyerap hentak yang melantun lantun.

Toyota Avanza – MREC – Desktop

Pemandu uji dan jurutera akan bekerjasama bagi menghasilkan sebuah kenderaan dengan DNA pemanduan yang sama, walaupun kereta tersebut hampir sama.

Sebagai contoh Z4 dan Supra, walaupun asas kereta hampir sama, pengendalian dan feel kereta adalah sangat berbeza.

REKABENTUK KENDERAAN

Jika anda perasan, setiap kali membuat pandu uji kereta, saya akan sertakan sekali dimensi kenderaan seperti panjang keseluruhan, lebar, ketinggian dan juga jarak antara roda.

Dimensi ini sebenarnya mempengaruhi dinamik pergerakan kereta semasa pemanduan. Berat juga memainkan peranan dalam pemanduan kerana semakin ringan sesuatu kereta, semakin mudah ia memecut, membrek dan mengambil selekoh dengan pantas.

Berat kenderaan terbahagi kepad dua iaitu, unsprung mass (Chassis dan semua bahagian yang ditampung oleh penyerap hentak dan spring) dan sprung mass (roda dan tayar).

Selain itu, ketinggian kereta juga mengambil peranan yang besar dalam karakteristik kenderaan kerana semakin tinggi kereta, pusat graviti akan bertambah tinggi.

Pusat graviti ini ialah kedudukan berat sesuatu objek, dan semua daya seperti graviti atau daya centrifugal akan dikenakan pada pusat graviti ini.

Jadi anda akan dapat rasakan, semakin rendah sesuatu kenderaan, ia akan menjadi semakin stabil ketika mengambil selekoh. Ini sebab sebenar abang abang Racing suka memotong spring, supaya lebih rendah dan lebih stabil ketika selekoh. Bukan nak nampak cantik saja tau.

Society of Automotive Engineer memberi gambaran, kereta mempunyai 3 paksi utama pada pusat graviti ini yang dinamakan Longitudinal Axis, Vertical Axis dan juga Lateral Axis.

Daya yang dihasilkan oleh kereta semasa bergerak dihasilkan oleh berat kereta itu sendiri, semakin berat kereta, semakin besar daya yang dihasilkan. Dalam istilah lain, daya ini disebut sebagai weight transfer atau pemindahan berat yang berlaku pada ketiga tiga paksi ini.

Pitch movement berlaku apabila daya pecutan dan daya seretan brek bertindak pada pusat graviti. Jika daya pecutan bertindak pada kenderaan, pergerakan pitch pada paksi Lateral akan berlaku. Berat kereta dari bahagian depan akan dipindahkan ke bahagian belakang.

Pada ketika ini bahagian depan kenderaan akan menjadi sedikit terjungkit dan bahagian belakang akan turun ke bawah. Situasi ini dipanggil sebagai “squat”. Jika kereta dikenakan daya brek, berat kereta akan dipindahkan ke bahagian hadapan menyebabkan bahagian belakang kereta menjadi terjungkit dan bahagian depan akan menjadi rendah. Fenomena ini dipanggil sebagai “dive”.

Jika kereta mengambil selekoh, terdapat satu daya yang bertindak pada pusat graviti kereta dari arah dalam selekoh pada bahagian tepi kenderaan. Daya ini akan menyebabkan berlakunya pemindahan berat kenderaan dari arah kiri ke bahagian kanan kenderaan pada paksi Longitudinal.

Jika kereta mengambil selekoh ke kanan, badan kereta akan senget ke kiri. Jika kereta mengambil selekoh ke kiri, badan kereta akan senget ke kanan. Fenomena ini dipanggil sebagai “body roll”.

Sekiranya terdapat input steering dari pemandu samaada ke kiri atau ke kanan, kadar perubahan kereta pada paksi vertical ini dipanggil sebagai Yaw rate.

Input-input dari pemandu pada steering ini akan menyebabkan kereta berputar pada paksi vertical samaada ke kiri atau ke kanan. Jika input steering telah diberikan, namun kereta tidak mengambil selekoh atau tidak membelok seperti yang dikehendaki oleh pemandu, maka fenomena understeer berlaku.

Semasa kejadian, bahagian depan kereta akan menuju ke Luar selekoh. Sebaliknya yang berlaku, jika pemandu memberikan lebih input pada stering bahagian depan kereta akan mengambil selekoh pada sudut yang lebih berbanding dengan selekoh. Bahagian depan kereta akan menuju pada arah dalam selekoh dan fenomena ini dipanggil sebagai oversteer

Fenomena dive, squat, roll, understeer dan oversteer ini akan berlaku setiap masa terutama pada jalan yang berselekoh dan jalan yang sesak akan memberi kesan secara psikologi pada tubuh badan manusia.

Jika anda perasan, perjalanan yang melalui lebuh raya yang luas dan kurang berselekoh membuatkan anda kurang merasa penat berbanding dengan jalan berselekoh.

Jadi itu sebab laluan lebuhraya wajib bayar tol kan. Berdasarkan pengalaman saya memandu kereta dengan konfigurasi FF (enjin depan, pacuan depan) selama 15 tahun, penulis mendapati kenderaan FF cenderung untuk mengalami masalah understeer apabila mengambil selekoh dengan laju atau kadangkala tersalah jangka sudut jalan.

Namun masalah ini boleh dibetulkan dengan mengangkat kaki dari pedal minyak atau menekan sedikit brek serta pada masa yang sama berikan sedikit lagi input steering.

Apabila brek diberikan atau pedal minyak dilepaskan, kereta akan mengalami sedikit dive dan berat kereta akan dihantar ke depan dan seterusnya menekan tayar depan supaya memberikan lebih cengkaman ketika mengambil selekoh.

TEKNOLOGI MAZDA G VECTORING CONTROL (GVC)

Dalam teknologi yang dihasilkan oleh Mazda iaitu G Vectoring Control atau singkatannya GVC, kenderaan Mazda yang dilengkapi dengan teknologi GVC akan melakukan proses pecutan, membrek dan juga mengambil selekoh dengan lebih selesa dan lancar.

Walaupun tanpa input dari pemandu, enjin Mazda yang dilengkapi dengan GVC akan mengurangkan tork enjin secara automatik apabila ia mengesan pemandu mula memberikan input steering ketika selekoh.

Operasi GVC memberikan fokus pada cengkaman tayar dengan memindahkan lebih daya vertical apabila sistem mula bertindak. Jadi pemandu tidak perlu susah payah membrek ketika selekoh untuk menghasilkan pemindahan daya berat ke depan dan tindakbalas stereng sewaktu selekoh menjadi semakin pantas

Dalam situasi kedua, sekiranya pemandu mengambil selekoh secara malar dan mengekalkan sudut input steering, sistem GVC akan mengembalikan semula jumlah tork pada enjin dan berat kereta akan dipindahkan pada tayar belakang ( situasi squat berlaku).

Ia bertujuan untuk mengekalkan kestabilan kereta pada roda depan dan belakang di sebelah luar selekoh serta memberikan respons mengambil selekoh dengan lebih pantas.

Kelebihan GVC pada pengendalian Kereta

Jika dipandu pada permukaan jalan yang tidak rata atau selekoh, sistem ini akan menghalang kesemua gangguan luar ini daripada mengganggu pemandu daripada memberikan input stereng yang berlebihan.

Malah sistem GVC mampu mengurangkan kekerapan pemandu membetulkan steering dan sudut steering sewaktu memandu. Secara tak langsung ia akan mengurangkan keletihan pada pemandu setelah memandu untuk satu tempoh waktu yang lama.

Dengan melancarkan pergerakan kereta ketika membrek, memecut, dan mengambil selekoh, Sistem GVC secara tak langsung ia akan mengurangkan pergerakan bahagian atas badan dan kepala yang disebabkan oleh gerakan pitch dan roll.

Pemandu dan kesemua penumpang akan merasa lebih selesa selepas perjalanan jauh. Malah tak salah Kalau kami tegaskan dalam keadaan kecemasan atau dalam keadaan licin, sistem GVC ini akan menghasilkan cengkaman yang berterusan kepada tayar kereta.

Di sebalik kesungguhan pengeluar lain mencipta kereta yang boleh dipandu secara automation dengan bantuan perisian dan perkakasan komputer, Mazda menongkah arus perdana dengan menghasilkan kereta yang cukup seronok dipandu.

Falsafah Jinba Ittai hadir dengan pakej enjin SkyActiv G digandingkan dengan kotak gear SkyActive Drive dan juga diperhalusi oleh G Vectoring Control memang menjadikan Mazda ini sebuah kereta yang seronok dipandu samaada ia sebuah sedan ataupun SUV.

Kadangkala sifat keras kepala dan melawan itu perlu sebagai senjata survival.

Dare to be different.

Tags
Google ads
Back to top button