Artikel Pilihan

PENGGAYAAN REKABENTUK AUTOMOTIF

Sebelum ini kami pernah keluarkan artikel berkenaan kategori kereta dikelaskan berdasarkan saiz cesi. Bermula dari kelas A sehinggalah kepada kelas lain yang lebih mewah dan eksekutif. Artikel pada kali ini pula akan memberi fokus bagaimana kereta boleh dikelaskan berdasarkan rekaan yang digunakan.

Semuanya bermula apabila jurureka bentuk gemar bereksperimen dengan pelbagai corak yang diilhamkan dari alam semulajadi dan juga dari tin biskut meri untuk dijadikan sumber inspirasi. Ada rekaan yang boleh diterima, dan ada rekaan yang menyebabkan anda bersyukur apabila hanya memandu Kancil sahaja. Jadi ini antara rekaan yang biasa digunakan bagi menghasilkan sebuah kereta.

Oh ya rekaan ini boleh bercampur antara satu sama lain dengan harmoni, kalau jururekabentuk ini pandai buat.

Vios – sedan segmen B

Sedan

Secara asasnya ini adalah rekaan asas kereta dengan ciri minimum 3 kotak yang memuatkan enjin, ruang penumpang dan ruang kargo. Ya sudah tentu ruang enjin akan dipisahkan sepenuhnya dari ruang penumpang bagi menghalang bunyi dan getaran masuk seterusnya mengganggu keselesaan penumpang. Sesetengah kereta juga memiliki besi pengikat pada penyandar tempat duduk belakang bagi mengukuhkan cesi

Namun sesetengah kereta tidak memiliki besi ini dan penyandar belakang masih boleh dilipat bagi memuatkan barangan yang panjang. Sedan memiliki empat pintu untuk penumpang , satu pintu ruang enjin dan satu pintu ruang kargo. Saiz sedan boleh dipelbagaikan dari kecil sehinggalah saiz besar untuk kegunaan VIP.

Myvi – kompak segmen B

Hatchback atau Kompak

Kalau dah nama kompak, maka saiz kereta biasanya lebih kecil dari segi saiz ruang penumpang. Ia merupakan gabungan 2 kotak iaitu untuk memuatkan ruang enjin dan juga ruang penumpang. Biasanya saiz kargo adalah lebih kecil berbanding dengan sedan. Model yang dijual di Malaysia biasanya memiliki 5 pintu untuk mengakses ruang kabin.

Multi Purpose Vehicle

Sekitar tahun 2005 dulu model ini mula menjadi sebutan di kalangan rakyat. Rekaan hampir sama dengan kompak iaitu 2 kotak, namun kabin belakang lebih besar dan panjang. Ia boleh memuatkan 7 atau 8 penumpang dalam satu masa serta memiliki 5 pintu untuk akses ke ruang kabin. Kusyen pula boleh dilipat untuk disimpan jika pemandu mahu memuatkan lebih banyak barang

Fastback

Rekaan fastback pula melibatkan rekaan bumbung bahagian belakang kereta yang direka agar bersambung dengan bahagian belakang kereta. Ia boleh digabungkan pada rekaan sedan bagi menghasilkan bentuk yang lebih bergaya dan melarus. Rekaan ini memiliki rintangan angin dan aerodinamik yang lebih baik berbanding rekaan sedan yang biasa

Kammback

Bentuk kereta yang paling aerodinamik ialah dengan mempunyai bentuk titisan air atau teardrop. Bentuk ini mempunyai bentuk dengan kesan seretan angin yang minima. Tapi kalau betul betul buat rekabentuk teardrop, confirm 7 keturunan orang tak akan beli kereta tersebut. Seperti kereta Saab warna hitam.

Apa yang designer buat ialah, bahagian belakang yang mempunyai bentuk seperti titisan air, dipotong menjadi bentuk vertikal. Bentuk Kammback (bukan kambing) atau K -tail ini lebih menarik dan praktikal namun mempunyai kesan seretan aerodinamik (turbulance) yang minima

Bentuk Kammback ini dinamakan bersempena dengan nama jurutera aerodinamik Jerman Wunibald Kamm sekitar tahun 1930

Pada asalnya rekabentuk ini digunakan pada kereta prestasi tinggi dan kereta lumba bagi meningkatkan prestasi pada halaju tinggi, namun kemudian digunakan oleh kereta hibrid untuk mengurangkan penggunaan bahan api.

Coupe

Rekaan ini pula dibuat dengan menggabungkan rekaan fastback pada sedan tapi hanya menggunakan 2 pintu sahaja berbanding dengan sedan biasa 4 pintu. Biasanya hanya 2 tempat duduk sahaja disediakan, namun sesetengah negara mengenakan cukai yang tinggi untuk kereta 2 tempat duduk. Jadi jurutera menambah 2 lagi tempat duduk di bahagian belakang yang hanya sesuai untuk dinaiki oleh orang dewasa tanpa tangan dan kaki atau lebih sesuai untuk kanank-kanak

Convertible

Nama lain bagi rekaan ini ialah cabriolet ataupun spider merujuk kepada kereta yang dibuat agar bumbungnya boleh dibuka ataupun ditutup apabila keadaan cuaca tidak mengizinkan. Sebab cuaca di Malaysia ini panas dan hujan sepanjang tahun, anda tak usah la berangan nak pakai kereta ini sangat di sini.

Terdapat 3 kaedah pembinaan bumbung bagi kereta jenis ini. Softtop merujuk kepada bumbung yang dibina daripada material fabrik yang lebih ringan namun kalis air. Hardtop merujuk kepada bumbung yang yang dibuat daripada aloi yang boleh disimpan di dalam ruang kargo belakang. Kedua dua rekaan ini perlu dipasang dan dibuka secara manual

Rekaan retractable hardtop pula merupakan rekaan bumbung yang dibuat daripada aloi dan boleh beroperasi secara automatik dengan bantuan motor elektrik, lebih mahal, berat, kompleks dan memakan ruang kargo yang banyak. Jurutera perlu mengukuhkan cesi kereta agar ketegarannya kekal apabila bumbung dibuka.

Crossover

Kadangkala ramai yang tersilap takrifan antara SUV dan crossover disebabkan rekaannya hampir sama antara satu sama lain. SUV biasnya menggunakan cesi ladder fram dan kabin yang berasingan dengan cesi. Bagi crossover pula, ia dibina berdasarkan cesi monocoque berdsarkan cesi kereta biasa seperti CRV meminjam cesi Civic dan HRV meminjam cesi City/Jazz. Beza crossover dengan kereta lain ialah jarak kelegaan permukaan bumi

Crossover biasa menggunakan konfigurasi FF dan kadangkala menggunakan teknologi AWD. Kuasa dari enjin akan dihantar kepada tayar depan ataupun kepada semua tayar melalui center differential. Kenderaan SUV seperti Frontier pula mengagihkan kuasa enjin melalui mekanisma 4×4 dengan bantuan transfer case.

Google ads
Back to top button