
PEJABAT BERGERAK NISSAN e-NV200 WORKSPACe
Nissan telah bekerjasama dengan firma rekaan yang berpangkalan di UK, Studio Hardie untuk menukar van e-NV200 menjadi sebuah pejabat bergerak elektrik sepenuhnya.
Dikenali sebagai Nissan e-NV200 WORKSPACe, ruang kerja bergerak itu menampilkan meja bersepadu yang boleh dilipat, komputer dengan skrin sentuh, internet tanpa wayar, lampu LED yang dikawal menggunakan telefon pintar, pengecas telefon tanpa wayar, sistem audio Bluetooth®, peti sejuk mini dan mesin kopi berkualiti tinggi.
Konsep e-NV200 WORKSPACe bukan sekadar menunjukkan versatiliti custom van tersebut, malah memaparkan bagaimana rupa pejabat bergerak pada masa depan. Apatah lagi ketika Susana kerja yang fleksibel dilihat semakin popular di seluruh dunia.
Ia juga membuktikan visi mobiliti pintar Nissan serta bagaimana Nissan melihat hubungan di antara kenderaan dan manusia berubah.
Menjelang tahun 2051, jumlah ruang kerja mudah alih dijangka berkembang sehingga 26 peratus. Ini kerana golongan pengendali perniagaan dan pekerja profesional mahukan alternatif yang lebih murah berbanding ruang pejabat di tengah bandar.
Justeru, e-NV200 WORKSPACe dilihat mampu menawarkan ruang kerja yang kos efektif kerana London ada menawarkan ruang pengecas kenderaan EV secara percuma. Kemudian, mereka boleh pergi ke kawasan luar bandar atau pantai untuk meneruskan kerja.
Model EV itu boleh dicas dengan pantas daripada kosong ke 80 peratus kuasa dalam masa hanya 30 minit. Ketika menunggu ia dicaj, basikal lipat Brompton Bike membolehkan pengguna bersiar-siar di sekitar bandar.
“Memandangkan ini van yang mesra alam, kami mahu memaksimumkan ruangnya dengan ciri-ciri pintar melibatkan teknologi cekap tenaga dan material daripada sumber yang mapan,” kata pereka bentuk terkenal dan pengasas Studio Hardie, William Hardie.
Nissan e-NV200 adalah sebahagian daripada rangkaian model sifar emisi Nissan yang menggabungkan ciri terbaik Nissan Leaf dan Nissan NV200.