Buletin

ENAM KERETA DIBAKAR ORANG KURANG SIUMAN

Enam kereta yang diparkir di Jalan Batu Nilam 3, Bandar Bukit Tinggi, rosak dipercayai dibakar individu kurang siuman.

Kejadian itu turut menyebabkan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun melecur di tangan ketika cuba memadamkan kebakaran tersebut.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pemeriksaan mendapati enam kereta masing-masing jenis Nissan Sentra, Perodua Bezza, Axia, Myvi selain Mazda 2 dan Proton Saga terbakar.

“Ketika kejadian seorang lelaki yang juga pemilik sebuah kereta cuba memadamkan kebakaran namun melecur di tapak tangan,” katanya.

Jelas Mohamadul Ehsan, siasatan awal mendapati seorang individu kurang siuman dipercayai membakar tiga kereta di kawasan itu.

Tambah beliau, lelaki itu kemudiannya dikatakan membakar kereta lain di mana semuanya terbakar antara 15 hingga 40 peratus.

“Bomba bagaimanapun berjaya memadamkan kebakaran dan tiada kemalangan jiwa lain dilaporkan. Kes diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan siasatan masih dijalankan pihaknya. – KOSMO! ONLINE

Google ads
"
"
Back to top button