
PELADANG TEBU BRAZIL MAKIN MAJU – KINI GUNA TRAK MERCEDES AXOR DENGAN SISTEM AUTONOMI
Mungkin daripada pandangan biasa, tiada apa yang istimewa ada pada trak penuaian tebu yang digunakan di Brazil ini.
Namun, ia sebenarnya telah pun dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan autonomi yang direka untuk membantu para peladang menuai hasil tebu di ladang-ladang.
Mercedes-Benz Axor ini telah pun digunakan sejak tahun 2019, di mana ia telah diubahsuai oleh Mercedes dan pengeluar agrikultur Grunner untuk penuaian tebu secara besar-besaran.
Sistem pemanduan autonomi yang ada pada trak Axor ini mampu mengawal kelajuan kira-kira 6 km/j dan jarak apabila bekerja sekali dengan unit jentera penuai, dan kawalan trak ini boleh diambil alih oleh pemandu pada bila-bila masa.
Apa yang penting, pengendali hanya perlu menetapkan laluan penuaian menggunakan sistem komputer sebelum membolehkan trak tersebut bergerak dengan sendiri.
Menurut Daimler, trak Mercedes Axor dengan sistem bantuan autonomi ini adalah jauh lebih cekap berbanding penggunaan trak biasa dan mampu menuai tebu dua kali ganda lebih banyak untuk tempoh masa yang sama, disamping menawarkan kos penyelenggaraan dan servis yang lebih rendah.