PELANGGAN TESLA SANGGUP TUKAR JENAMA LAIN – SEMAKIN MELUAT DENGAN PERANGAI ELON MUSK
Tesla dan Elon Musk bakal dilanda gelombang masalah baharu apabila semakin ramai pengguna Tesla telah menukar jenama kenderaan hanya kerana tidak menggemari sikap atau karakter Musk.
Sejak pengambilalihan Twitter berlaku, fokus Musk terhadap Tesla mula dipersoalkan oleh orang dalam industri, selain menjadi mangsa kritikan oleh pengguna Tesla sendiri.
Seorang bekas peminat Tesla, Bob Perkowitz adalah antara beberapa ribu orang pertama yang menempah Model S pada 2009 sebelum menaik taraf kepada edisi sedan 2017. Perkowitz juga sempat berkira-kira untuk mendapatkan model Tesla 2022, namun fikirannya berubah setelah Tesla dan Musk didatangi pelbagai masalah.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu sentiasa lantang bercakap, tetapi sejak beberapa bulan kebelakangan ini, terutamanya selepas dia membeli Twitter, persona yang dipamerkan kepada 125 juta pengikut kadangkala tidak sopan, tidak berwawasan serta seolah-olah sengaja menghangatkan situasi.
“Elon adalah alasan sangat baik untuk membeli kereta itu. Dia mempunyai jenama yang hebat. Tetapi kini, tidak lagi,” kata Perkowitz.
Menurut seorang Ketua Pegawai Eksekutif perisian di Maryland, John Bryne, harga AS$95,000 (RM416,000) tidak berbaloi dengan kualiti yang ditawarkan. Byrne akhirnya memilih serta menukar keretanya dengan Audi elektrik pada akhir 2022.
“Saya tidak mahu menjadi duta jenama untuk mereka lagi,” kata Byrne.
Menurut pakar jenama di Columbia Business School, Matthew Quint, pengguna lebih cenderung untuk bertindak balas dengan buruk terhadap syarikat kereta yang kontroversi berbanding jenis perniagaan lain.
Hal ini berlaku kerana kereta ialah pembelian jangka panjang yang mewakili pengguna. Ia berbeza dengan membeli produk lain.
Lebih-lebih lagi, Quint berkata, perbelanjaan yang menelan lima angka akan membuatkan seseorang berfikir lebih panjang tentang siapa yang mereka kayakan atau adakah pengguna bersetuju dengan pandangan mereka.
Selepas bertahun-tahun dalam industri automotif, Tesla masih belum menunjukkan keyakinan kepada pelanggan bahawa mereka adalah sebuah jenama yang kukuh.
Selain itu, pelabur turut bimbang tentang keasyikan Musk terhadap Twitter, hingga menyebabkan saham Tesla menjunam 65 peratus pada 2022. Pemerhati industri automotif merasakan bahawa Elon Musk patut lebih matang dalam menangani situasi bagi mengelak lebih banyak menanggung kerugian di masa hadapan.
- BACA: TAK CUKUP DENGAN TWITTER, ELON MUSK MAHU BELI DISNEY-ABC PULA
- BACA: SIAPA ELON MUSK NI? – LOYER, MAJISTRET ATAU DOKTOR AYAM?
- BACA: PELABUR BENGANG ELON MUSK BUAT TESLA MACAM ATM PERIBADI. JUAL SAHAM RM15.8 BILION
- BACA: ELON MUSK BUAT HAL LAGI, BERI AMARAN KEPADA PENGIKLAN MENGHENTIKAN PENGIKLANAN DI TWITTER