Buletin

PEMANDU AUTONOMI UBER SEDANG MENONTON TV SEBELUM KEMALANGAN

Masih ingat dengan kemalangan kereta autonomi Uber yang sedang diuji di Arizona, Amerika Syarikat beberapa bulan lepas? Nampaknya pihak berkuasa sudah dapat mengenalpasti puncanya.

Ia menggemparkan dunia automotif dan menyebabkan ramai pihak mula mempersoalkan kredibiliti teknologi kereta tanpa pemandu. Umum mengetahui, di seluruh dunia, kereta autonomi adalah ujian teknologi masa hadapan yang sedang giat dijalankan oleh banyak pengeluar kenderaan.

BACA:  PENGHANTAR PIZZA AUTOMATIK PERTAMA DI DUNIA

Kemalangan ini menjadi salah satu kemalangan berprofil tinggi. Mangsa, wanita berusia Elaine Herzberg, 49 tahun terbunuh pada 18 Mac sekitar 10 malam setelah dirempuh kereta Volvo XC90 pada kelajuan 65km/j.

Ketika kemalangan, Herzberg dikatakan sedang berjalan di satu persimpangan dan menyebabkan Uber menggantung ujian di daerah tersebut. Bagaimanapun, ujian di tempat lain masih diteruskan seperti biasa. 

Menurut laporan Reuters, jurutera keselamatan yang bertanggungjawab mengawal kereta tersebut sedang menonton televisyen. Lebih tepat, rancangan ‘The Voice’. Pasukan penyiasat polis daerah Tempe, Arizona telah mendapati pemandu sebenarnya boleh mengelakkan kemalangan tersebut dari berlaku.

Rafaela Vasquez, dikatakan sedang menonton televisyen menerusi telefon bimbitnya, setengah saat sebelum perlanggaran berlaku. Pihak polis mendapai rekod dari platform aplikasi Hulu yang menunjukkan akaun Vasquez  aktif sepanjang 42 minit sebelum kemalangan tersebut berlaku.

Ia berhenti tepat jam 9.58 malam sekaligus memberi indikasi waktu kejadian pelanggaran itu berlaku. Mengikut laporan itu Vasquez hanya mendongak kepala melihat hadapan 0.5 saat daripada telefon beliau selepas menonton 5.3 saat ketika kenderaan sedang bergerak selaju 71km sejam.

Dalam laporan awal menunjukkan Uber telah mematikan fungsi brek automatik dan itu sepadan dengan keputusan laporan yang menunjukkan Vasquez hanya menekan brek kurang dari setengah saat sebelum kemalangan. 

 

Google ads
Back to top button