Buletin

PEMILIK TEKSI MENGAMUK, TERBALIKKAN KERETA UBER – TAK PUAS HATI UBER TAWAR TAMBANG LEBIH MURAH

Isu teksi dan kenderaan e-hailing nampak gayanya tidak hanya terjadi di Malaysia sahaja. Berlaku di Greece, sekumpulan pemilik serta pemandu teksi mengamuk hingga memecah, menterbalikkan kereta Uber.

Menurut laporan, tiga pemandu Uber telah ditangkap oleh polis kerana melanggar undang-undang jalan raya selain, menawarkan perjalanan lebih murah daripada yang dibenarkan ke lapangan terbang.

Pemandu Uber dikatakan menawarkan tambang diskaun ke lapangan terbang, mengenakan hanya AS$22 (RM102) dan bukannya kadar minimum, AS$40 (RM185).

Perkara berkenaan membuatkan pemandu teksi menganjurkan perhimpunan menentang kehadiran Uber di Rhodes.

Akhbar media tempatan Dimokratiki dan Rodiak merakamkan kejadian mengejutkan selepas pemandu teksi Greece mengamuk di luar premis Uber Greece di Rhodes.

Gambar-gambar menunjukkan VW T-Roc serta Volvo XC40 terbalik termasuk beberapa kereta dan SUV lain turut dirosakkan. Antara kenderaan lain dirosakkan ialah Mercedes CLA, tiga buah GLA, Peugeot 3008, dan Skoda Octavia.

Sejak dilancarkan di Rhodes dan Corfu pada 25 April 2023, Uber mencetuskan kebimbangan pihak teksi tempatan meskipun Uber Greece menyatakan komitmennya untuk menyokong pemandu teksi tempatan.

Walau bagaimanapun, sindiket teksi tempatan di Rhodes mempunyai pandangan berbeza mengenai situasi itu, mengatakan bahawa mereka bakal terus menentang kehadiran Uber di wilayah itu.

Mereka berpendapat kemasukan syarikat multinasional itu ke dalam pasaran mewujudkan persaingan tidak adil serta tidak terkawal.

Google ads
Back to top button