Buletin

PEMBELI MISTERI TEMPAH 2 McLAREN SEKALIGUS, INI BARU ADIL DAN KAYA!

Sudah menjadi kelaziman apabila tibanya hari raya, seisi keluarga akan mengenakan baju dengan warna sedondon. Pada hari raya kedua ketiga pun masih sama warna lagi walaupun mengenakan pakaian kasual.

Jadi apa kena mengena pakaian sedondon dengan artikel McLaren ini? Jawapnya ialah alang-alang dah berkenan kenapa nak beli sebuah? Kenapa tak beli dua terus? Atau bila dah beli dua kenapa tidak ubahsuai bagi sama?

Itulah yang dilakukan oleh seorang pelanggan misteri yang menempah dua buah McLaren sekaligus dengan tema ubahsuai sama. Khidmat ubahsuai ini dilakukan oleh McLaren Special Operations (MSO) yang tugas mereka khusus untuk menaik taraf dan mengubahsuai mengikut kehendak pelanggan.

Kereta yang dibeli dan dinaiktaraf itu ialah MSO R Coupé dan MSO R Spider yang unik dan berada di dalam kelas tersendiri. Iya lah, biasanya projek begini hanya melibatkan sebuah sahaja tetapi ini dua sekaligus.

Sebenarnya McLaren sudah lama terlibat dalam projek kereta tempahan khas seperti ini di mana salah satu darinya ialah McLaren X-1 yang dipertontonkan pada tahun 2012. Sama juga dengan projek ini, kereta itu dibuat untuk individu yang tidak dinamakan.

Semenjak dari debut di acara Pebble Beach Concours d’Elegance, semakin ramai yang bertanya tentang servis ditawarkan MSO ini. 

MSO R Coupé dan MSO R Spider

Kedua-dua kereta super ini sama tetapi tidak serupa. Sebab satu bumbung boleh buka (Spider) satu lagi bumbung macam biasa (Coupé). Ciri-ciri lain seperti luar dan dalam serta spesifikasi mekanikal pula adalah sama.

Pemilik misteri kedua-dua kereta ini ternyata mempunyai citarasa tinggi dan istimewa. Sebagai contoh kedua-dua kereta menggunakan warna sama iaitu Liquid Silver tetapi ia dibezakan dengan kemasan akhir iaitu satin untuk model Coupé dan gloss untuk model Spider.

Selain warna tersebut, ciri-ciri lain adalah sama seperti jaluran gentian karbon dari depan hingga belakang kereta, sayap belakang dan sirip depan bagi memperbaiki prestasi aerodinamik.

Bampar depan, bonet, fender dengan sirip, liang bumbung dan dek belakang menggunakan komponen yang dipanggil MSO Visual Carbon Fibre (VCF), sama seperti pemegang serta perumah cermin sisi dan batang penggilap cermin. Garisan warna Delta Red pula dikenakan pada splitter depan dan bilah sisi. Beberapa bahagian kereta dilengkapi dengan logo MSO R.

Roda untuk kedua-dua kereta pula dikenakan kemasan sama seperti warna badan iaitu hitam satin untuk Coupé dan hitam kilat untuk Spider.

Bahagian dalaman kereta dirias dengan material Alcantara® dengan tema merah dan hitam termasuk logo MSO R pada kerusi. Bahagian atas dan bawah stereng menggunakan gentian karbon manakala bahagian sisi menggunakan material Alcantara®.

Selain penampilan visual, MSO turut menyentuh bahagian enjin di mana kedua-duanya telah menjalani proses blueprint dengan port dan polish pada head serta port ekzos secara tangan. Enjin M838TL turbo berkembar McLaren V8 itu mempunyai output kuasa 679bhp dan 700 Nm.

Sistem ekzos kereta super ini mempunyai peredam dengan corak crossover bagi menambah jarak paip dan mengoptimumkan aliran ekzos dan ia turut mempunyai muncung dari titanium.

Akhir sekali, bagi menandakan kereta ini edisi istimewa buat MSO, sebuah plak diletakkan pada bingkai itu yang menjadi kelengkapan wajib untuk kereta seumpama ini.

BACA: DUIT BUKAN SEGALANYA – TAPI DUIT BOLEH BELI MCLAREN DENGAN WARNA UNIK INI

BACA: SELAMAT MENYAMBUT HARIJADI KE 25 MCLAREN F1 – SUPERCAR SUPERSTAR

MSO R Coupé dan Spider:

MSO R Coupé:

MSO R Spider:

Google ads
Back to top button