
PEMBELI TOYOTA TUNDRA DI US PERLU TUNGGU SETAHUN SETENGAH!
Di Malaysia, kita biasa terbaca di media sosial di mana ada pemilik dan bakal pemilik kereta baharu merungut kerana tempoh menunggu yang terlalu lama, malah ada yang baharu sahaja dapat kereta masing-masing setelah setahun meletakkan wang deposit.
Sementara itu, di Amerika Syarikat para pembeli trak pikap saiz penuh Toyota Tundra nampaknya terpaksa menunggu untuk tempoh yang lebih lama untuk mendapatkan unit masing-masing!
Menurut laporan daripada CarsDirect yang mendapatkan info dari Longo Toyota, salah satu pengedar Toyota terbesar di Amerika Syarikat mendapati tempoh menunggu untuk Tundra versi standard bermula seawal empat bulan sehingga sembilan bulan.
Sementara pembeli model premium Tundra TRD Pro pula dikatakan perlu menunggu antara sembilan bulan hingga satu tahun setengah.
Memetik masalah kekurangan cip semikonduktor sebagai punca, Longo Toyota mendakwa Toyota merancang untuk menghantar kira-kira 61 unit trak sahaja untuk wilayah Los Angeles untuk tempoh tiga bulan akan datang.
Sementara itu, di Jepun ada sesetengah pembeli Toyota Land Cruiser terpaksa menunggu sehingga empat tahun!
Sumber: CarsDirect