Buletin

PEMILIK RAYU PULANGKAN SUSU TIN DARI INSIDEN TRELER TERBALIK

Ini ialah soal moral. soal kesedaran, soal halal haram dan soal sikap. Dapat lihat dengan jelas “warna” perangai sebenar rakyat Malaysia.

Dalam satu kejadian yang berlaku di simpang tiga Kampung Tawang di Bachok, Kelantan semalam, sebuah treler yang membawa bekalan susu dalam tin terbalik dan stok susu bertaburan di atas jalanraya.

Dalam satu rakaman video yang tular, beberapa penduduk kampung dilihat mengutip susu tersebut.

Hari ini, pemilik lori tersebut merayu orang ramai memulangkan semula susu yang diambil.

Pemiliknya, Azizan Zainudin, 57, berkata, ketika kejadian dia berada di Klang, Selangor sebelum dimaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa anaknya, Mohd Baihaqi, 25, dan pekerjanya bernama Syafiq.

Katanya, mereka hanya mengambil upah menghantar bekalan susu tin itu dari Klang ke gudang di Pengkalan Chepa.

“Daripada 1,500 karton susu, anak dan pekerja hanya sempat ambil 149 karton dan 11 tin susu saja.

“Selebihnya diambil orang ramai dan dipercayai ada orang menyamar ‘taukeh’,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azizan berkata, dia terpaksa membayar kos kerugian RM120,000 selain anak dan kelindan lori mengalami kecederaan di bahagian kepala.

“Kalau malu, boleh hantar ke rumah saya di Kampung Pengkalan Haji Ali atau letak semula di tempat kemalangan.

“Setakat hari ini, dua penduduk kampung sudah hantar semula susu yang diambil dan saya harap yang lain segera berbuat demikian untuk memudahkan urusan saya dengan pemilik barangan itu,” katanya.

Menurutnya, dia sudah membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bachok semalam.

Akhbar hari ini melaporkan, orang ramai mengutip susu dari sebuah treler yang terbalik semalam.

KREDIT: HARIAN METRO

Google ads
Back to top button