Artikel Pilihan

PENAPIS BAHAN API, NAMPAK KECIK TAPI MAHAL. WAJIB TUKAR?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas topik “Fuel Filter” atau di dalam Bahasa Melayu nya Penapis Bahanapi. Komponen ini merupakan salah satu komponen penting di dalam sistem bahanapi kenderaan. Enjin masih boleh berfungsi jika komponen ini tiada namun sistem bahanapi akan terdedah kepada risiko pencemaran dan turut merisikokan keseluruhan sistem enjin.

“Fuel Filter” terdapat pada keseluruhan kenderaan bermotor, baik petrol atau diesel. Penting ke komponen ini ? Sangat penting Tuan-Tuan. Sekiranya tidak penting, pihak pengeluar kenderaan semestinya tidak akan meletakkan komponen ini di dalam sistem bahanapi mereka. Bukan itu sahaja, kebanyakan pengeluar kenderaan juga mengkelaskan komponen ini sebagai komponen “Wear & Tear” dan harus ditukar mengikut sela masa yang ditetapkan.

Fungsi “Fuel Filter” sangat asas iaitu menapis kotoran di dalam bahanapi sebelum masuk ke dalam sistem bahanapi kenderaan. Ada kenderaan yang dilengkapi dengan “Fuel Filter” berasingan dengan “Fuel Pump”. Oleh yang demikian, proses menukarnya tidak rumit dan kosnya juga rendah. Ada juga kenderaan dimana “Fuel Filter” nya dipasang sekali dengan unit “Fuel Pump” yang terletak di dalam tangki bahanapi kenderaan. Sebagai contoh Nissan GT-R R35. Situasi seperti ini menyebabkan proses penukaran komponen ini menjadi rumit dan juga memakan kos yang tinggi.

Walaupun fungsinya sangat asas, fungsi komponen ini sangat kritikal kerana apabila kotoran didalam bahanapi mampu merosakkan komponen-komponen sistem bahanapi yang lain. Sebagai contoh “Injector”. Sekiranya ini berlaku, sudah tentu kos yang diperlukan untuk proses baik pulih melonjak tinggi dengan jayanya.

Kotoran-kotoran ini kadangkala tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Bahanapi yang dipam dari stesen petrol pula terus masuk ke dalam tangki. Dari sudut pemandu, adalah mustahil untuk kita mengetahui keadaan di dalam tangki kerana belum ada lagi tangki bahanapi yang dicipta lutsinar. Kotoran-kotoran ini akan terkumpul di “Fuel Filter” dari masa ke semasa.

Kenapa perlu ditukar ?

Hal ini kerana “Fuel Filter” yang sudah lama digunakan mempunyai risiko tersumbat akibat kotoran yang ditapis. Situasi ini akan menyebabkan kenderaan hilang kuasa kerana sistem bahanapi tidak mendapat tekanan yang cukup. Antara simptomnya ialah kenderaan sukar dihidupkan, keadaan enjin yang tidak stabil ketika melahu, tersengguk-sengguk ketika memecut dan kurang respon ketika pedal pecutan ditekan.

Simptom-simptom diatas turut berlaku sekiranya terdapat masalah pada sistem penyalaan kenderaan seperti kerosakan “Spark Plug” atau “Ignition Coil”. Oleh yang demikian, bengkel atau mekanik yang mahir semestinya akan memeriksa kedua-dua sistem iaitu sistem penyalaan dan juga sistem bahanapi sekiranya situasi seperti ini berlaku.

Semestinya anda tidak mahu situasi seperti ini berlaku lebih-lebih lagi jika anda sudah bersiap sedia untuk mengharungi perjalanan jauh untuk pulang ke kampung halaman di kusim perayaan. Oleh itu, periksa jarak perbatuan anda dan minta nasihat mekanik anda. Jika mereka memberi saranan untuk menukar “Fuel Filter”, tukarlah dengan kadar segera. Percayalah mencegah lebih baik dari mengubati.

Kebanyakan kenderaan baru sekarang mewajibkan “Fuel Filter” ditukar pada sela masa tertentu. Walaupun harganya tidak murah, namun ia dilakukan bagi memastikan kenderaan bergerak lancar ketika memandu. Diharap artikel ini mampu memberi pencerahan tentang kenapa “Fuel Filter” perlu ditukar.

Google ads
Back to top button