
TERHEMPAS DI LAUT, AS DAN CHINA BEREBUT CARI JET PEJUANG F35-C BERNILAI RM420 JUTA
Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) bertungkus-lumus untuk mencari dan mengapungkan bangkai jet pejuangnya yang terhempas di Laut China Selatan sebelum aset ketenteraan Pentagon itu ditemui oleh China terlebih dahulu.
Menurut Badan Penyiaran Britain (BBC) semalam, jet pejuang F35-C itu merupakan pesawat terbaharu yang dilengkapi peralatan rahsia dan sulit. Sekiranya ia ditemui oleh China, semua rahsia mengenai AS akan jatuh ke tangan seterunya itu.
Pesawat F35-C tersebut dilaporkan terhempas di Laut China Selatan pada Isnin lepas ketika cuba melakukan pendaratan di atas kapal pengangkut pesawat, USS Carl Vinson dalam satu latihan ketenteraan.
Pesawat berharga AS$100 juta (RM419.8 juta) itu merempuh dek kapal USS Carl Vinson yang mengakibatkan tujuh anak kapal cedera. Ia kemudian karam di dasar laut dan pihak tentera gagal mengesahkan lokasi bangkainya.
Pakar-pakar keselamatan negara AS berkata, tentera China amat berminat untuk mendapatkan bangkai jet pejuang tersebut ketika kapal penyelamat AS berada pada jarak sekurang-kurangnya 10 hari dari lokasi nahas.
“Ia terlalu lambat kerana bateri kotak hitam akan mati sebelum kapal penyelamat tiba, menjadikan keadaan semakin sukar untuk mengesan pesawat F35-C.
“Adalah penting untuk AS mendapatkan kembali bangkai pesawat tersebut kerana pesawat F-35 bagaikan sebuah komputer terbang. Ia direka untuk menghubungkan aset-aset pertahanan yang lain,” kata Perunding Pertananan Abi Austen.
Sementara itu, Penganalisis Hal Ehwal China dan Felo Keselamatan Projek Truman, Bryce Barros berkata, tidak dapat dinafikan bahawa China amat mahukan jet pejuang tersebut meskipun aktiviti intipan siber berkemungkinan telah memberi maklumat mengenai bahagian dalaman, susun atur dan operasinya.
“Saya berpendapat, China mahu melihat bahagian-bahagian sebenar jet pejuang tersebut bagi memahami dengan lebih lanjut bagaimana ia disusun atur dan mencari kelemahannya,” ujar Barros.
China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan dan telah menegaskan tuntutan tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ia turut menolak keputusan tribunal antarabangsa pada 2016 yang menyatakan bahawa China tidak mempunyai asas undang-undang ke atas perairan tersebut. – AGENSI
- BACA: PESAWAT SPITFIRE BERUSIA 79 TAHUN DILELONG PADA HARGA RM25 JUTA
- BACA: MITSUBISHI DIPILIH SEBAGAI KONTRAKTOR UTAMA BANGUNKAN PESAWAT PEJUANG F-X
- BACA: PESAWAT PEJUANG CHECKMATE DARI RUSIA. GABUNG KELAJUAN SUPERSONIK DAN TEKNOLOGI ELAK DIKESAN RADAR
- BACA: KUWAIT NAFI ADA RUNDINGAN JUAL PESAWAT PEJUANG TERPAKAI KEPADA MALAYSIA