Buletin

PENCURI LARIKAN TOYOTA HILUX DALAM MASA 3 MINIT SAHAJA. PENGGERA PUN TAK BERBUNYI

Dalam masa hanya tiga minit, sekumpulan penjenayah dirakam berjaya melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda milik seorang lelaki yang diparkir di hadapan kediamannya di Taman Desa Indah, Putra Nilai, Negeri Sembilan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.20 pagi itu, seorang suspek dilihat mendekati sebuah Toyota Hilux manakala salah seorang daripada mereka menunggu di dalam kereta.

Pemilik kenderaan, S Dinend, 26, berkata, daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hadapan rumahnya, pencuri itu dilihat sangat mahir kerana hanya mengambil masa tiga minit untuk menghidupkan kenderaan tanpa mengeluarkan bunyi penggera.

“Ketika kejadian saya sedang tidur dan hanya menyedari pacuan empat roda itu dilarikan selepas dimaklumkan melalui panggilan telefon daripada pusat khidmat pelanggan Toyota.

“Kenderaan saya itu memiliki sistem penggera dan pengesanan kedudukan global (GPS). Pusat khidmat memaklumkan kenderaan saya mungkin dilarikan sebelum saya memeriksa di luar rumah,” katanya ketika dihubungi.

Dinend berkata, dia kemudiannya memeriksa CCTV dan mendapati sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna kelabu berhenti di hadapan Toyota Hilux miliknya sebelum seorang lelaki dilihat keluar dan menghampiri kenderaan itu.

“Daripada rakaman, kumpulan ini sangat mahir melakukan kerja mencuri kereta. Saya kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai, semalam,” katanya.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim memaklumkan nombor pendaftaran Honda Civic yang digunakan suspek adalah palsu.

“Kami menerima laporan daripada mangsa dan kini sedang melakukan siasatan untuk memburu suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan,” katanya. – Harian Metro

Google ads
Back to top button