Pandu Uji

AUDI Q5 S LINE TFSI 2.0 QUATTRO, SUV UNTUK T20

Nama yang dipilih oleh Audi untuk SUV ini agak panjang, tapi ia menunjukkan apa yang mampu ditawarkan oleh SUV mewah Audi ini. Pertama ia dikuasakan dengan enjin 2000cc 4 silinder turbo yang menghasilkan kuasa sehingga 246 kuasa kuda dan 370Nm tork seawal 1600 RPM.

Kedua ia dipadankan dengan pacuan semua roda AWD yag terkini dinamakan sebagai Quattro with Ultra Technology tapi kami akan huraikan kemudian. Q5 ini diposisikan di bawah Q7 yang lebih besar dan mampu memuatkan 7 penumpang, dimana Q5 lebih kecil sedikit dengan panjang sekitar 4682mm, lebar 1893mm dan tinggi 1662mm.

Jika Audi Q7 dibina dengan menggunakan E Platform sama seperti Cayenne dan Toureg, Audi Q5 pula dihasilkan dengan menggunakan platform MLB (Modular Längsbaukasten) Evo yang lebih kompak khas untuk pacuan depan atau pacuan semua roda

Ia platform yang sama digunakan untuk Audi A4, A5, A7, A8 dan juga Porsche Macan. Platform ini telah menetapkan kedudukan cagak enjin, kedudukan tayar depan, firewall dan juga cermin depan bagi semua model di atas, senang nak hasilkan pelbagai model dengan modal yang rendah

Audi Q5 membawa rekaan rasmi bagi jenama Audi, jeriji depan dengan rekaan Octagonal Single Frame , lampu depan DRL LED dengan rekaan tajam dan kompleks, lampu depan LED (tanpa teknologi LED Matrix), lampu kabus dan trapezoidal insert baru baru besar di bahagian kiri dan kanan bampar.

Bahagian sisi Audi Q5 dihasilkan dengan satu garisan shoulder line yang tegap dan dikemaskan lagi dengan sepasang roof rail dengan keupayaan membawa beban seberat 75kg. Berbeza dengan jenama lain yang bersungguh-sungguh mewarnakan cladding tayar dengan warna hitam, Audi pula mengenakan warna badan biru kepada komponen ini. Nampak lain daripada yang lain

Rekaan di bahagian belakang juga membawa falsafah rekaan korporat Audi dengan lampu LED, krom yang melintang di bahagian pintu dan bampar, dan diberikan pintu ruang kargo dengan kapasiti 520 liter. Jika anda melipat kusyen di bahagian belakang, ruang kargo ini akan menjadi 1529 liter cukup besar untuk sebuah SUV eksekutif

Audi Q5 sebenarnya datang dengan teknologi Mild Hybrid dengan sistem bateri lithium ion 12 volt yang dipasang di belakang di bawah ruang kargo beserta bateri 12 volt yang biasa. Ini bermakna Audi Q5 dipasang dengan 2 unit bateri berhampiran unit tayar simpanan

Unit bateri ini akan dicaj oleh Bateri Alternator Stator ketika brek regenaratif dilakukan dengan keupayaan menyimpan sehingga 5kW tenaga untuk satu pengecasan penuh. Bateri ini akan digunakan sewaktu proses start/stop ketika berhenti di lampu isyarat.

Sistem ini juga akan mematikan enjin ketika memandu secara santai sehingga 10 saat di antara halaju 60-160km/jam, memberi kuasa kepada sistem elektrik ketika enjin dimatikan dan menghidupkan semua enjin

Audi mendakwa sistem berupaya menjimatkan petrol sebanyak 300ml bagi setiap 100km dan Audi mendakwa Audi Q5 berupaya memberikan bacaan purata penggunaan sehingga 12.5km bagi setiap liter petrol. Namun penulis berjaya mendapatkan bacaan yang lebih baik iaitu 13.8km per liter petrol untuk perjalanan di lebuh raya

Disebabkan ruang kargo belakang perlu menempatkan 2 unit bateri, maka tayar simpanan bersaiz 18 inci perlu direka dengan pelik sedikit, ia menggunakan tayar simpanan tanpa angin. Jadi anda perlu mengisi angin tayar tersebut sebelum digunakan

Penjimatan bahan api ini juga disumbangkan dengan sistem pacuan semua roda Audi Quattro Ultra dan juga transmisi 7 kelajuan automatik klac berkembar. Anda boleh baca bagaimana Audi menghasilkan satu sistem pacuan semua roda yang cekap tenaga di pautan di atas

Ada 5 mode pemanduan yang disediakan samaada Dynamic untuk pemanduan Agresif, Efficient untuk memaksimakan penggunaan petrol, Comfort untuk keselesaan, Auto dengan keupayaan sistem memilih mode yang sesuai berdasarkan pemanduan ataupun Individual.

Tapi pada kebanyakan masa penulis kekal dengan mode pemanduan Comfort bagi memaksimakan keselesaan. Audi Q5 adalah SUV yang agak sporti dengan tetapan penyerap hentak yang agak keras dan respon stering yang pantas, maka mode Comfort adalah paling sesuai untuk pemanduan malas. Pada halaju 110km/jam, Audi Q5 mencatatkan bacaan 60dB sahaja.

Tapi jika diletakkan dalam mode Dynamic, maka anda harus siap sedia dengan hamburan kuasa kuda dan tork yang menerjah kepada semua tayar dengan cekap. Penukaran gear dibuat dengan kemas dan cekap, tau tau sahaja gear sudah ditukar apabila melihat perubahan bacaan meter RPM

Lontarkan sahaja Q5 memasuki selekoh tajam maka isu biasa yang dialami oleh kereta pacuan 2 roda depan iaitu understeer tidak berlaku pada Audi Q5. Semua tork dibahagikan dengan sekata pada semua tayar ketika di laluan lurus, atau ketika membelok brek akan dikenakan pada tayar di sebelah dalam dan tork dihantar pada tayar sebelah luar selekoh

Hasilnya agak menakjubkan untuk merasai pengalaman sebuah SUV seberat 1760kg beraksi di selekoh bagaikan sebuah kereta sport kompak. Prestasi brek dan respon cesi ketika pedal brek ditekan juga boleh dipuji. Ia tidak menggelabah tapi pada masa yang sama anda rasa cukup yakin dengan keupayaan brek Audi Q5

Ruang dalaman Audi Q5 tampil kemas dengan gabungan kusyen balutan Fine Nappa Leather yang berwarna coklat terang, ciri kusyen bantuan kuasa dengan 12 tetapan ubahsuai, sistem Audi Virtual Cokcpit, sistem Multimedia moden MMI Touch, MMI Navigation dan juga 10 pembesar suara yang dipasang dalam kabin untuk kualiti bunyi yang realistik. Cuma sayang ia tidak dipasang dengan pembesar suara premium

Selain daripada dibekalkan dengan sistem ESC, 6 keselamatan beg udara Audi Q5 tiada ciri keselamatan aktif seperti brek kecemasan automatik. Tapi sebagai nota tambahan, Audi Q5 menerima penarafan Top Safety Pick+ daripada IIHS bagi model tahun 2022. Ini bermakna Audi Q5 cemerlang dalam semua kategori ujian, kecuali untuk Malaysia ia tiada ciri mencegah kemalangan.

Pada harga RM 486,223 tanpa cukai dan insuran serta pilihan ciri lain yang perlu dibayar, harga yang dipinta untuk sebuah Audi Q5 sebenarnya agak keras melainkan anda ada duit berkepok-kepok di bawah tilam anda. Sebagai perbandingan Volkdwagen Tiguan TSI R Line 4 Motion dijual dengan harga yang jauh lebih murah.

Audi Q5 juga perlu berlawan dengan Mercedes GLE/GLC, BMW X5 dan juga Lexus RX yang ditawarkan dengan ciri dan harga yang lebih kompetitif. Cuma logik pemikiran orang biasa tidak akan sama dengan logik pemikiran orang elit T20. Kalau dia sudah berkenan dengan rekaan dan pemanduan Audi Q5 dia akn terus beli. Mungkin akan beli terus secara tunai

Google ads
Back to top button