
BODYKIT GMG DOUBLE EIGHT SUMPAH TOYOTA HILUX JADI TUNDRA. RM12,300 SAHAJA
Toyota Hilux generasi kelapan telah mendapat facelift dua kali pada 2017 dan pada 2020. Namun, reka bentuknya kini dilihat semakin tidak relevan.
Jangan risau kerana firma talaan Jepun, GMG Double Eight ada menawarkan bodykit yang boleh mengubah Hilux kelihatan menjadi klon Tundra lebih besar. Ubah suai yang diberikan oleh bodykit itu nampak cantik dan mungkin boleh disalah anggap sebagai satu lagi facelift daripada Toyota.
Garis badan Tundra dilihat sesuai dengan Hilux berwarna putih ini. Komponen yang paling ketara pastinya fascia hadapan yang telah direka semula dan menjadi rekaan signifikan model Tundra.
Ia merangkumi gril oktagon besar dengan corak sarang lebah, plat skid hitam, huruf Toyota gaya GR dan tiga unit lampu kecil yang membuatkan Hilux kelihatan begitu garang.

Corong pengambilan udara yang menegak pada bampar disambungkan dengan lampu utama. Manakala skup hud kosmetik dilekatkan di atas bonet.
Bahagian badan yang lain sebahagian besarnya tidak berubah, kecuali ditambah dengan fender lebar warna badan untuk nampak lebih ranggi. Trak pikap itu juga menerima set rim aloi baharu yang dibalut dengan tayar A/T.
Aspek mekanikal Hilux itu mengekalkan enjin turbo diesel 2.4 liter berkuasa 147hp atau enjin turbo diesel 2.8 liter dengan 201hp. Kita boleh menjangkakan bodykit itu serasi dengan semua varian Hilux, termasuk GR Sport.
Kos untuk naik taraf ialah ¥235,000 (RM7,340) untuk bampar hadapan, ¥5,000 (RM157) untuk bahagian dalam gril, ¥8,000 (RM248) untuk lampu kuning, ¥95,000 (RM2968) untuk fender dan ¥58,000 (RM1810) untuk skup bonet.
Secara keseluruhan, kit lengkap GMG Double Eight ditawarkan pada harga ¥388,000 (RM12,300) tidak termasuk cat, cukai dan kos penghantaran.
GALERI:





