
PENGEDAR PERODUA BAKAL RUGI RM230,000?
Dalam satu kenyataan rasmi lewat petang semalam, Presiden Persatuan Pengedar Perodua, Wan Kamal Wan Ismail memohon agar kerajaan membenarkan ahli-ahlinya untuk menuntut kembali cukai jualan sebanyak sepuluh peratus ke atas invois yang dikeluarkan sebelum Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan pada 1 April depan.
Menurut Wan Kamal, kerajaan kini mengenakan cukai jualan sebanyak sepuluh peratus ke atas kenderaan baharu. Namun, selepas 1 April, cukai jualan tersebut akan digantikan dengan GST pada kadar enam peratus.
Ini bermakna, stok-stok kenderaan yang belum dijual dan sudahpun dibayar cukai jualan akan dikenakan cukai GST pula selepas 1 April. Justeru, secara purata setiap pengedar bebas bakal mengalami kerugian mencecah RM230,000 selepas 1 April.
“Pengedar Perodua kebanyakannya terdiri daripada syarikat bersaiz sederhana. Jadi kerugian ini akan memberi impak besar ke atas perniagaan, terutama dari segi aliran tunai dan keuntungan kami,” kata Wan Kamal.