
PENGGANTI LAMBORGHINI AVENTADOR BAKAL GUNA ENJIN V12, 3 MOTOR ELEKTRIK, 1000 KUASA KUDA
Beberapa hari yang lepas media rasmi Lamborghini telah mendedahkan beberapa perincian trenkuasa yang akan digunakan oleh model pengganti Aventador nanti. Model pengganti ini akan dilancarkan secara rasmi pada penghujung bulan Mac 2023.
Supercar dengan menggunakan kod projek LB744 dikatakan mampu menjana sehingga 1000 kuasa kuda daripada trenkuasa plug in hybrid, menggabungkan enjin V12 serba baru, transmisi klac berkembar 8 kelajuan baru dan juga 3 motor elektrik
Angka ini menjadikan LB744 sebagai supercar yang paling berkuasa dihasilkan oleh Lamborghini bagi kegunaan jalan raya. 3 motor elektrik pula disusun dengan 2 motor dipasang pada roda depan depan satu lagi motor dipasang pada gandar belakang. Susunan ini juga membolehkan LB744 beroperasi sebagai sebuah EV dalam jarak singkat

Tiada aci pacu akan disambungkan antara roda depan dengan enjin, sebaliknya roda depan akan dipacu dengan menggunakan motor elektrik sepenuhnya. Ruang yang tersedia di transmission tunnel akan digunakan untuk menyimpan bateri ion lithium sebesar 3.8kWh
Memgikut data daripada Lamborghini, tetapan sebegini bukan sahaja lebih berkuasa tapi mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida sebanyak 30%. Dari segi rekaan, tetapan yang digunakan adalah hampir sama seperti yang digunakan oleh Ferrari SF90 Stradale.
Enjin V12 yang dikenali sebagai L545 pula merupakan enjin V12 generasi ke 3, direka baru sepenuhnya oleh Lamborghinidengan saiz 6500cc. Enjin baru ini hanyalah seberat 217.7kg sahaja dan 7.7kg lebih ringan berbanding dengan enjin V12 generasi ke 2.

L545 akan menjana 813 kuasa kuda pada 9250 RPM dan tork maksima pula ialah 725Nm tork pada 6750 RPM. Antara pembaharuan yang dibuat termasuklah nisbah mampatan yang lebih tinggi 12.6:1 (model lama 11.8:1) dan juga aliran udara yang masuk dan keluar melalui sistem ekzos telah ditambahbaik.
Motor elektrik yang digunakan adalah dari jenis axial flux dengan sejukan minyak akan menjana 148 kuasa kuda setiap, menawarkan ciri torque vectoring pada roda depan dan juga mengecas bateri sistem sewaktu brek regeneratif berlaku.

Satu lagi motor elektrik dipasang di gandar belakang akan digunakan untuk membantu enjin memecut dalam sesetengah keadaan termasuklah menawarkan ciri pacuan semua roda elektrik sepenuhnya. Selain digunakan untuk mengecas bateri, motor dengan 148 kuasa kuda ini juga akan bertindak sebagai starter enjin dan digunakan sebagai gear mengundur
Transmisi 8 kelajuan klac berkembar yang digunakan juga adalah transmisi baru yang akan menggantikan transmisi 7 kelajuan klac tunggal pada Avantador. Ia adalah lebih ringan, menukar gear dengan lebih pantas dan boleh menukar beberapa gear dengan serentak (Continous downshifting) apabila pemandu menekan paddle shift dengan lama.

