Buletin

NISSAN THAILAND TAPAU TIGA KATEGORI DALAM CAR OF THE YEAR 2023

Nissan Thailand baru-baru ini berjaya membawa pulang tiga anugerah di acara berprestij Car of The Year yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen IMPACT, Muang Thong Thani.

Pada acara tersebut, Nissan Almera Sportech VL memenangi kategori Sedan Terbaik bawah 1,000cc. Sementara Nissan Kicks e-POWER dan Nissan PRO-2X 7AT masing-masing menguasai kategori SUV Hibrid Terbaik (bawah 1,200cc) serta Pickup High-lift Terbaik (bawah 2,500cc).

Naib Presiden Pemasaran, Jualan dan Pembangunan Nissan, Masao Tsutsumi berkata, “Dicalonkan dalam Car of The Year adalah kebanggaan kami. Anugerah berprestij ini akan memberi inspirasi untuk menambah baik lagi penawaran produk serta perkhidmatan.”

Nissan Almera Sportech VL dikuasakan enjin HRA0DET 1,000cc 3 silinder turbo yang menjana 100hp dan totk 152Nm dengan kuasa enjin dihantar ke tayar depan melalui transmisi CVT X-tronic.

Model ini menawarkan teknologi Nissan Safety Shield 360 dan sistem infotainmen NissanConnect yang menyokong ketersambungan Android Auto serta Apple CarPlay.

Ciri lain Nissan Almera termasuklah pengecaman suara, sistem navigasi melalui Google Map, selain sistem audio paparan skrin sentuh bersaiz 8-inci.

Nissan Kicks e-POWER baharu ialah satu-satunya SUV elektrik segmen B dalam pasaran yang dilengkapi teknologi e-POWER.

Teknologi e-Power generasi ke-2 memiliki bateri litium-ion 2.06-kWh di mana ia menjana kuasa sehingga 134hp dan tork maksimum 280 Nm.

Di samping itu, teknologi unik Nissan iaitu e-Pedal Step antara faktor Nissan Kicks menjadi pilihan pemandu masa kini terutamanya dari sudut keselesaan.

Kicks e-POWER disertakan senarai penuh teknologi keselamatan aktif dan pasif termaju. Ia juga dilengkapi beberapa ciri keselesaan serta gred AUTECH Premium Sporty baharu bagi menawarkan pengalaman pemanduan lebih sporty.  

Navara PRO-2X yang memenangi kategori Pickup High-lift Terbaik pula menggambarkan semangat ketahanan trak pikap Nissan daripada setiap generasi.

Ia dikuasakan oleh enjin 2.3 liter, 4 silinder, DOHC pengecas turbo berkembar YS23DDTT yang menawarkan kuasa maksimum 190hp dan tork 450Nm. Enjin itu dipadankan dengan transmisi automatik 7-kelajuan serta mod pemanduan manual (Mod M).

Google ads
Back to top button