Buletin

PENULARAN VARIAN DELTA, HARGA MINYAK MENTAH DUNIA JATUH TERUK

Harga minyak mentah dunia mencatat penyusutan mingguan terbesar sejak Oktober berikutan penularan varian delta COVID-19 di China dan di tempat lain di dunia menimbulkan keraguan terhadap pertumbuhan permintaan.

Niaga hadapan West Texas Intermediate susut 1.2 peratus pada Jumaat dan 7.7 peratus untuk minggu baru berakhir.

Dolar Amerika Syarikat (AS) meningkat berikutan laporan pekerjaan AS yang lebih baik daripada dijangkakan, melemahkan daya tarikan komoditi yang harganya dalam denominasi mata wang itu.

China telah mengenakan sekatan yang semakin ketat terhadap pergerakan untuk memerangi penularan varian maut itu. Pada masa sama menyaksikan kes jangkitan harian di Thailand dan Sydney, Australia mencatat rekod tertinggi.

“Pasaran bertindak balas terhadap kebimbangan bahawa varian Delta, terutama di Asia, akan menjejaskan pergerakan secara ketara,” kata Ketua Strategi Komoditi Global TD Securitires, Bart Melek.

Setelah minyak mentah meningkat pada separuh pertama tahun ini dengan pertambahan permintaan, perkembangan terkini pandemik membatasi harga bukan saja minyak mentah, malah beberapa komoditi lain.

Premium untuk kontrak semasa WTI berbanding niaga hadapan bulan kedua, mengecil kepada 18 sen setelah mencapai 72 sen seminggu sebelumnya, menunjukkan kebimbangan berterusan mengenai permintaan.

“Pasaran minyak berdepan kesukaran minggu ini,” kata Penganalisis Kanan Danske Bank A/S, Jens Naervig Pedersen.

“Di satu sisi, pasaran bimbang mengenai implikasi ekonomi daripada penularan varian Delta, tetapi di sisi lain pula, dasar yang akomodatif memberi sokongan yang kukuh,” katanya.

Walaupun prospek permintaan dari Asia lemah, terdapat beberapa metrik yang lebih baik di AS, yang mana jalan raya kekal sibuk. Perjalanan jarak jauh di lebuh raya bagi minggu hingga 1 Ogos hampir sama minggu yang dicatatkan pada 2019, sebelum pandemik itu melanda, demikian mengikut Jabatan Pengangkutan.

Penghantaran petrol ke pasaran Sepanyol pula melonjak melebihi tahap pra-pandemik bulan lalu.

“Sulit untuk tidak terjebak dalam berita utama yang menunjukkan peningkatan kes, terutama di China,” kata Pakar Strategi Kanan Komoditi Australia and New Zealand Banking Group Ltd, Daniel Hynes.

“Bagaimanapun, jika diteliti, langkah yang ketat dilonggarkan di kebanyakan rantau, permintaan nampaknya terus meningkat. Saya rasa impak gelombang terbaru ini jauh lebih rendah daripada yang sebelumnya,” katanya. – Bloomberg

Google ads
Back to top button