Buletin

PENUMPANG OKU TERPAKSA MERANGKAK KELUAR DARI PESAWAT, JETSTAR MOHON MAAF

Sebuah syarikat penerbangan memohon maaf selepas seorang wanita kelainan upaya (OKU) terpaksa merangkak keluar dari pesawat gara-gara kakitangan syarikat penerbangan tersebut tidak dapat menyediakan kerusi roda tepat pada masanya.

Natalie Curtis yang dalam perjalanan dari Singapura ke Bangkok, Thailand, iaitu perjalanan terakhir dari Townsville, Queensland menaiki pesawat syarikat penerbangan tambang murah Australia, Jetstar.

Curtis telah ditawarkan kerusi roda untuk menaiki penerbangan di Singapura. Namun, setibanya di Bangkok, kakitangan Jestar memberitahu bahawa dia perlu membayar untuk menggunakan kerusi roda lain untuk turun dari pesawat dan dia bagaimanapun enggan membuat sebarang pembayaran.

Jetstar menafikan pihaknya meminta bayaran untuk menggunakan kerusi roda. Curtis beranggapan bahawa insiden itu terjadi kerana terdapat halangan bahasa antara dirinya dan kakitangan Jestsar.

Memandangkan rakan seperjalanannya mengalami kecederaan lutut dan tidak dapat membantunya, Curtis berkata dia tidak mempunyai banyak pilihan selain keluar dari penerbangan dengan menyeret dirinya.

Curtis juga menyiarkan tentang kejadian tersebut dalam laman Facebook, dengan mengatakan bahawa dia “tidak pernah merasa begitu hina” dalam hidupnya.

Jurucakap Jetstar memberi maklum balas ke atas isu itu dengan mengatakan pihak syarikat telah memohon maaf berikutan insiden tersebut.

Jetstar juga menjelaskan komitmennya untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat kepada semua penumpang termasuk golongan kurang upaya.

Google ads
Back to top button