Buletin

DEMI BYD ATTO 3, PEMBELI DI THAILAND SANGGUP BERATUR SEAWAL 8 MALAM. DAH MACAM BELI IPHONE

Pembeli kereta di Thailand dilihat sanggup beratur panjang semata-mata untuk membeli BYD Atto 3 di cawangan BYD Kwang Thai Ekamai-Ramindra, pada malam sebelum tarikh penghantaran pertama iaitu 1 November lalu.

Seorang pembeli, Panithan memaklumkan Blink Drive bahawa dia terpaksa terbang dari Chiang Rai, wilayah paling utara di Thailand ke Bangkok untuk membeli BYD Atto 3.

Melalui ceritanya, dia mahu membeli kereta elektrik tersebut melalui pinjaman kereta, ,tetapi bilik pameran BYD di Chiang Rai menolak untuk memberikan pinjaman dan mahukan bayaran tunai sahaja. Jadi, dia mengambil keputusan untuk terbang ke Bangkok.

Panithan turut memberitahu bahawa polis Bangkok muncul di bilik pameran BYD pada jam 1 pagi kerana terdapat orang sedang berkumpul di sekitar bilik pameran. Polis menghidupkan siren dan melihat keadaan di tempat kejadian. Beberapa minit kemudian, polis memutuskan untuk pergi selepas mereka mengetahui tentang cerita di bilik pameran itu.

Menurut info, orang pertama yang hadir ke bilik pameran tersebut adalah seawal jam 8 malam dan sanggup menunggu sebelum barisan menjadi lebih panjang. Bilangan pembeli beratur semakin bertambah pada pukul 1 pagi, sehingga kira-kira lebih 30 orang sudah pun beratur pada pukul 4 pagi.

BYD Kwang Thai Ekamai-Ramindra bukanlah kedai pertama yang mempunyai barisan terpanjang. BYD phetkasem pernah mempunyai lebih daripada 100 orang menunggu untuk membeli BYD Atto3 bermula pukul 3 pagi.

Di Thailand, BYD Atto 3 dipasarkan dalam versi Extended Range dengan bateri Blade LFP 60.49 kWh BYD dengan pengecasan mengambil masa 45 minit untuk mencapai 0-80 peratus melalui pengecas 80 kW. Dengan pengecasan penuh, ia mampu bergerak hingga 420km.

BYD Atto 3 dikuasakan oleh motor elektrik berkuasa 201hp dan 310Nm tork serta mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat.

Ia turut dilengkapi beberapa ciri menarik seperti kamera 360 darjah, bantuan mula mendaki, kawalan cengkaman, kawalan kestabilan, ABS, peninjau tekanan tayar, sensor parkir belakang dan banyak lagi.

Google ads
Back to top button