Buletin

PENUNGGANG BASIKAL MAUT DISERANG BURUNG MURAI DI AUSTRALIA

Seorang lelaki berusia 76 tahun maut apabila diserang oleh burung murai ketika menunggang basikal di Wollongong, New South Wales, Australia. 

Mangsa dilaporkan terkejut apabila seekor burung murai secara tiba-tiba menyerang kepalanya. Dalam usaha mengelak, dia melanggar sebatang tiang pagar sebelum tercampak di atas jalan dan mengalami kecederaan di kepala. 

Mangsa meninggal di hospital akibat kecederaan parah yang dialaminya. “Polis NSW sedang menyiasat insiden ini. Penduduk setempat memberitahu terdapat seekor burung murai yang agresif telah pun menyerang beberapa mangsa lain. 

“Menurut laman web The Magpie Alert yang merekod serangan burung murai di Australia, terdapat lapan serangan di kawasan yang sama sebelum ini,” kata polis NSW dalam satu kenyataan. 

Di lokasi sama, ada satu papan tanda yang memberi amaran terhadap serangan murai tersebut. Berikutan insiden itu, pihak berkuasa tempatan akan memasang lebih banyak papan tanda amaran.

Penunggang basikal juga digalakkan supaya berjalan sehinggalah mereka keluar dari kawasan ‘serangan’ terbabit. 

Serangan burung murai ini merupakan perkara biasa di Australia dan ia bertambah bahaya ketika musim mengawan sepanjang bulan September dan Oktober. Burung itu akan bertindak agresif untuk mempertahankan anak-anak dan kawasannya dengan cara terbang rendah, kemudian menyerang mangsa dari arah belakang. 

Tahun ini sahaja, sebanyak 1,570 serangan dilaporkan di seluruh Australia yang menyebabkan 189 kecederaan. Angka itu dijangka meningkat terutama di Queensland, NSW dan Victoria. Statistik menunjukkan 70 peratus serangan berlaku ketika menunggang basikal. Manakala 22 peratus lagi berlaku kepada pejalan kaki.  

Burung murai merupakan spesis yang dilindungi di Australia. Orang ramai dilarang daripada membunuh atau mengambil telur dan anaknya. 

Google ads
Back to top button