Buletin

TOYOTA GUNA BATERI SAMA MACAM TESLA

Toyota dilapor akan mula menggunakan jenis sel bateri sama yang direka oleh Panasonic untuk kenderaan Tesla untuk beberapa model plug-in hibrid keluarannya.

Antara model yang terlibat ialah Corolla dan Levin yang telah dilancarkan di China awal tahun lalu. Walaupun mempunyai saiz yang sama, bateri itu bagaimanapun mempunyai komposisi kimia berbeza. 

Langkah itu dilihat sebagai satu usaha Toyota untuk mendapatkan bekalan bateri berkualiti tinggi yang stabil, ketika pasaran global mula beralih kepada kenderaan elektrik. 

Toyota dan Panasonic membangunkan bateri selama bertahun-tahun kerana pengeluar kenderaan berpengaruh dari Jepun itu mahu mengembangkan rangkaian kenderaan elektrifikasinya. Pada januari lalu, kedua-dua buah syarikat tersebut mengumumkan sebuah syarikat kerjasama untuk menghasilkan bateri EV. 

Terdahulu, Toyota juga menjalin kerjasama dengan Contemporary Amperex Technology Co Ltd (CATL) dan pembuat EV dari China BYD Co Ltd untuk mendapatkan bateri. Toyota dilapor telah memesan kira-kira 50,000 bateri badan selinder, membuatkan kilang bateri Panasonic di Osaka beroperasi pada kapasiti penuh. 

Panasonic menjadi pembekal sel bateri eksklusif buat Tesla. Namun, Tesla kini sedang berunding dengan LG Chem Ltd dalam usaha mempelbagaikan sumber komponen utama kenderaanya. 

Tags
Google ads
Back to top button