Artikel Pilihan

PERKONGSIAN PLATFORM – BUKAN BERKONGSI SUAMI

Proton Iriz, Proton Persona, Honda Jazz, Honda City, Perodua Axia, Perodua Bezza, Toyota Vios, dan Toyota Yaris adalah beberapa nama kereta yang pada anda adalah berbeza antara satu sama lain. Satu dengan rekaan kontot dan satu lagi dengan rekaan ada bonet. Mana sama kan. Namun bagi kami geng skema teknikal, ia sebenarnya hampir 100% sama antara satu sama lain. Mari kami terangkan.

Platform kenderaan merupakan kerangka utama kenderaan yang bertindak sebagai tulang belakang sesuatu kenderaan. Biasanya ia terdiri daripada panel lantai (floor panel) atau underbody. Ia terdiri daripada lantai kabin penumpang, kerangka enjin, kerangka komponen suspensi depan, suspensi belakang dan juga beberapa kerangka sokongan cesi.

Terdapat beberapa kriteria utama yang menentukan ciri-ciri platform kenderaan seperti

1. Floor pan – lantai cesi yang bertindak sebagai asas untuk cesi dan struktur dan komponen mekanikallain akan dipasang di situ

2. Kedudukan gandar depan dan belakang serta jarak antara kedua komponen tersebut yang disebut sebagai jarak antara roda ataupun wheelbase

3. Mekanisme stering dan juga jenis sistem bantuan kuasa yang digunakan

4. Penggunaan jenis suspensi depan dan belakang samaada dari jenis independent (bebas) atau dependent

5. Kedudukan enjin, unit trenkuasa dan juga kedudukan komponen penghantaran kuasa dari enjin, sistem transmisi dan juga tayar

Jika sesuatu kenderaan ini menggunakan platform yang sama, maka ia digelar sebagai platform sharing walaupun ia berbeza dari segi rekaan, jenama, dan juga tujuan kegunaan. Sebagai contoh platform sharing yang paling popular ketika ini ialah BMW Z4 dan juga Toyota Supra. Namun kedua-duanya sangat berbeza dari segi penggayaan dan juga driving feel.

Apa yang Toyota buat ialah hanyalah berkongsi platform sahaja. Rekaan luaran, talaan kekerasan spring, penyerap hentak, ratio gear dan pelbagai parameter telah ditala secara berbeza dan hasilnya Z4 dan Supra memberikan rasa pemanduan yang berbeza. Ikuti kupasan kami berkenaan hal ini di sini

Kelebihan Perkongsian Platform

Apabila bercakap berkenaan pembangunan sesebuah model kereta yang baru, maka perkara utama yang perlu dikawal agar pembangunan produk tersebut ialah kos pembangunan platform, enjin dan juga masa yang diambil dari lukisan, konsep sehinggalah pada proses pemasangan di kilang. Sangat banyak proses kejuruteraan yang perlu dibuat sebelum kereta ini sampai ke showroom.

Apabila perkongsian platform dilakukan, ia akan menjimatkan kos pembangunan model baru serta memendekkan masa yang perlu diambil agar model kereta terbaru sampai ke tangan pelanggan secepat yang mungkin. Makin cepat sampai, makin laju jualan yang boleh dibuat. Bukan itu sahaja, tooling development dan die development boleh dibuat dengan cepat dan pengeluar boleh berkongsi pembekal yang sama sekaligus mengurangkan harga komponen.

Perkongsian platform juga membolehkan ia menawarkan fleksibiliti dalam menawarkan produk kepada pengguna. Sebagai contoh, platform MQB yang digunakan oleh kumpulan Volkswagen Group digunakan untuk model Volkswagen Golf untuk rakyat yang berpendapatan sederhana ataupun ditawarkan sebagai Audi A3 untuk pelanggan yang mementingkan jenama, status dan kemasan yang lebih bemutu tinggi.

Undang-Undang Anti Monopoli

Berbanding dengan undang-undang Malaysia yang mesra monopoli seperti syarikat penyiaran TV berbayar yang bertindak sebagai alat pengesan awan dan hujan, undang – undang perniagaan di Eropah amat menekankan persaingan. Contohnya aktiviti rebadging atau menukar logo. Aktiviti mencuri logo tidak sama dengan menukar logo. Ambil kereta jenama A dari Amerika, pasarkan di Eropah dengan logo syarikat B serta kekalkan semua ciri fizikal 100% sama yang lain. Maka syarikat B bakal dikenakan tindakan saman dari kerajaan

Scaleable Platform Architecture

Terdapat satu rang undang undang di Jerman yang menghalang syarikat besar daripada melakukan proses rebadging pada kereta dan hanya cesi atau platform saja yang dibenarkan untuk dikongsi. Ini kerana, cesi adalah komponen yang mahal untuk dibuat oleh pembuat kereta. Selebihnya, kedua dua kereta haruslah mempunyai rekabentuk luaran dan rekaan dalaman yang berbeza. Maka aktiviti berkongsi platform ini sah dari sudut undang-undang.

Platform yang sama tapi rekaan berbeza

Apabila teknologi perkongsian platform ini semakin diterima pakai oleh kebanyakan pengeluar di seluruh dunia, maka jurutera menjadi semakin kreatif dalam menggunakan platform. Dengan hanya menggunakan satu platform sahaja, ia boleh digunakan untuk kereta kompak 3 pintu, kompak 5 pintu, sedan, SUV, wagon, kereta sport tanpa bumbung dan juga MPV. Ya inilah kelebihan Modular Platform ataupun Scaleable Platform Architecture seperti yang dipanggil oleh kumpulan Volvo

Modular platform membenarkan jurutera melakukan perubahan jarak antara roda, jenis suspensi namun masih lagi menggunakan kerangka yang sama. Sebagai contoh platform Volkswagen Polo boleh digunakan sebagai platform sebuah SUV dengan 7 tempat duduk iaitu Skoda Kodiak. Namun inilah keajaiban kejuruteraan apabila kedua dua kereta menggunakan platform MQB dengan kos pembangunan setinggi USD 16 Billion.

Kesemua platform MQB akan berkongsi rekaan gandar depan, kedudukan pedal, dan kedudukan enjin walaupun berbeza dari segi jarak antara roda, lebar dan juga saiz keseluruhan cesi sendiri. Platform ini dikongsi oleh Audi, Seat, Skoda, dan juga Volkswagen sendiri. Jadi jangan terkejut jika anda dapati kereta sport Audi TT RS yang berkuasa 400 kuasa kuda berkongsi platform dengan Volkswagen Touran iaitu MPV 7 tempat duduk. Dengan kaedah ini, kos pembangunan dapat dijimatkan sebanyak 60% dan masa pembangunan dijimatkan sehingga 30%.

Kalau kongsi platform design akan jadi tonggek ke?

Kadang-kadang penulis tersenyum sendirian apabila terbaca komen komen warganet di ruangan FB yang mengkritik rekaan belakang Proton Persona dan juga Perodua Bezza. Kedua-dua model ini ada persamaan yang jelas. Model ini dibangunkan pada asalnya dari sebuah model kompak 5 pintu iaitu Bezza berasal daripada Axia dan Persona berasal daripada Iriz. Disebabkan permintaan yang tinggi daripada pengguna terhadap model sedan, maka pengeluar bertindak mengimpal ruang bonet pada kedua – dua model. Namun ia lebih kelihatan sebagai Axia dan Iriz yang disengat oleh sekumpulan tebuan yang merusuh.

Ya rekaan bonet tersebut memang menepati kehendak pengguna iaitu ruang yang besar, namun gagal menepati citarasa rekabentuk. Bahagian belakang iaitu bermula dari ruangan tayar (wheel arch dan rear fender) ke bahagian atas bonet kelihatan agak tinggi menjadikan ruang tayar sedikit kecil. Cubaan pemilik dengan mengenakan tayar yang lebih besar gagal menjadikan rekaannya lebih sekata.

Jika diperhatikan dengan jelas, jarak antara roda bagi Bezza ialah 2455mm manakala Axia 2450mm. Persona dan Iriz pula berkongsi jarak antar roda yang sama iaitu 2555mm. Masalah ini sebenanrnya telah lama dihadapi oleh Honda Jazz Aria GD1 dan juga kembarnya Honda City GD8/GD9 yang berkongsi jarak antara roda pada 2450mm. Honda juga melalui fasa yang sama apabila membangunkan dulu versi kompak Jazz sebelum mengeluarkan City. Jalan yang mudah untuk membangunkan versi sedan City ialah ambil saja platform Jazz dan panjangkan bonetnya.

Hasilnya ialah City GD8/9 memiliki bahagian belakang yang agak cacat dengan bonet seperti kelihatan tergantung dari tayar belakang. Bentuknya tidak sekata. Selepas belajar dari pengalaman dan juga Toyota Yaris (2460mm) dan Vios(2550mm), Honda sedar bagi menghasilkan rekaan yang sedap mata memandang, versi sedan wajib memiliki jarak antara roda yang lebih panjang berbanding versi hatchback.

Apabila model Jazz GE 6 dikeluarkan, ia memiliki jarak antara roda pada 2500mm dan kembar sedannya iaitu City GM2/GM3 dilancarkan pada tahun 2009, ia memiliki jarak antara roda pada 2550mm. 50mm lebih panjang berbanding dengan versi kompak Jazz barulah rekaan belakang nampak sporti dan segak. Sifir ini diteruskan lagi dengan Jazz model GK tahun 2014 dengan jarak antara roda 2530mm dan versi City dengan jarak antara roda 2600mm

Ya apa yang diperlukan oleh Bezza dan juga Persona ialah jarak antara roda yang perlu ditambah berbanding dengan platform asal mereka dalam bentuk kompak. Namun sudah pasti kos pembangunan akan meningkat melebihi sasaran pengeluar. Bagi pengeluar yang besar seperti Honda yang memiliki pasaran besar serata dunia, ia tidak akan menjadi masalah kerana jumlah jualannya seluruh dunia boleh memberikan pulangan pelaburan dalam masa yang singkat berbanding dengan Perodua dan juga Proton

Pada masa hadapan, mungkin akan lebih banyak model tempatan yang akan menggunakan konsep ini di dalam kaedah pembuatan. Cesi asal sebuah kompak boleh dinaiktaraf menjadi sebuah SUV. Ia lebih senang diaplikasikan berbanding perkongsian jawatan Perdana Menteri atau PM tepi.

Tags
Google ads
Back to top button