Artikel Pilihan

TOYOTA SUPRA A90 DAN BMW Z4. SAMA TAPI TAK SERUPA…

Toyota Supra, Honda NSX dan Nissan GTR adalah beberapa lagenda yang gah tidak ditelan zaman meskipun teknologi hibrid dan elektrik mula menguasai pasaran pada masa kini.

Namun ditekan dengan dengan undang undang pencemaran yang semakin ketat dan penggunaan petrol yang kuat menyebabkan ke tiga tiga nama di atas hanya tinggal nama selepas beberapa dekad.

Nissan GTR masih berdegil dan tanpa mempedulikan pencinta beruang kutub dan penguin kutub Utara, telah mengeluarkan Nissan GTR dengan sesaran 3800cc bagi memenuhi kehendak pasaran kereta Sport.

Honda mengikut jejak langkah Nissan dengan menghasilkan Honda NSX dengan teknologi hibrid dan turbo, satu langkah yang tidak pernah dibuat sebelum ini. Enjin 3600cc V6 dipasang dengan turbo dan dibantu dengan motor hibrid pada roda depan dan belakang.

Toyota seperti biasa akan menjadi hero pada minit-minit akhir dengan falsafah “doing right at first time”

Bermula dengan Toyota GT 86, Toyota memberi isyarat pada dunia bahawa mereka telah merancang membuat come back bagi model lagenda Supra.

Sama seperti model asal AE86, jalan yang dipilih oleh Toyota agak pelik dengan bekerjasama dengan Subaru Corporation iaitu pemilik Subaru. Enjin boxer Subaru dipilih dan dipadankan dengan sistem suapan bahan api D4S, dan disalurkan ke bahagian belakang roda.

Hasilnya sebuah kereta Sport bersejarah 2000cc Natural Aspirated yang sangat meriangkan untuk dilengah pada RPM tinggi dan dipadankan dengan cesi yang tegap dan suka meratah selekoh sebagai sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam.

Hampir 5 tahun masa diperlukan untuk mereka bentuk GT86 untuk sampai ke bilik pameran Toyota. Seperti saudara Yazid ulas sebelum ini, kos pemilikan GT86 adalah munasabah dan anda boleh tersenyum sewaktu memandu kereta ini dengan rakus selepas berbalah dengan isteri anda berkenaan lokasi untuk makan malam.

KELAHIRAN SEMULA TOYOTA SUPRA

Sekitar tahun 1997, Tetsuya Tada telah diminta oleh Ichiro Suzuki (Ketua Projek Lexus LS dan Supra A80) untuk menyertai Divisi Z, iaitu sekumpulan jurutera Toyota yang akan memulakan projek model baru bagi Supra.

Ia merupakan mimpi basah menjadi kenyataan bagi Tada yang merupakan Jurutera muda untuk bekerja dengan Suzuki, salah seorang lagenda dalam syarikat Toyota.

Namun, malang bagi Tada sebaik sahaja dia menyertai Divisi Z, projek Supra A90 dibatalkan berikutan kemelesetan ekonomi dunia. Lebih menghampakan Tada, dia diminta untuk membina sebuah minivan Toyota Raum. Kenal dengan perangai Tada, Suzuki menasihati beliau bahawa proses asas untuk membina minivan ataupun Supra A90 adalah sama. Letakkan hati semasa membina kereta yang memenuhi citarasa pengguna.

Ketika Ketua Jurutera, Toyota Tetsuya Tada berada di Sepanyol untuk sesi pemanduan media Toyota 86 pada tahun 2012, beliau dihampiri dan ditemuramah oleh seorang lelaki yang mendakwa beliau adalah keturunan Parameswara dan pewaris Kesultanan Jepun. Maaf tersasul.

Beliau adalah wakil kepada Bavaria Motor Work atau BMW satu jenama yang sinonim dengan tagline Sheer Driving Pleasure mengucapkan tahniah atas kejayaan Toyota Motor Corporation melancarkan Toyota GT 86 serba baru.

Ini adalah kali pertama selepas beberapa tahun Toyota mempunyai sebuah kereta Sport dengan logo Toyota di dalam barisan model jualan.

“Alangkah bagus sekiranya Toyota dan BMW dapat bekerjasama dalam menghasilkan sebuah kereta baru”. Ujar wakil BMW tadi. Sebuah kereta yang mempunyai dinamik pemanduan sebagus BMW dan kualiti pemasangan dan ketahanan sebuah Hilux.

Beliau menjemput Tada ke ibu pejabat BMW di Jerman bagi membincangkan kemungkinan kerjasama antara 2 gergasi besar automotif.

Selepas Tetsuya Tada berbincang dengan Akio Toyoda, projek ini dimulakan dengan nama “Silk Road” ataupun Jalan Sutera.

Toyoda memberi bayangan jika kerjasama ini berjalan lancar, alangkah bagusnya GT86 mempunyai sebuah kembar yang lebih berkuasa. Tada kemudian mengetuai sekumpulan jurutera Toyota memulakan proses negosiasi dan proses mencari idea apakah model kereta yang boleh dibuat pasukan Toyota dan BMW.

Rundingan demi rundingan menemui jalan buntu sehinggalah BMW bertanya kepada Tada apakah yang dimahukan oleh Toyota dari kerjasama ini?

Tanpa ragu ragu, Tada menyatakan mereka mahukan sebuah kereta Sport yang lebih berkuasa dari GT86, seperti yang diidamkan oleh oleh pasaran dunia iaitu pengganti Toyota Supra.

Semasa perbincangan dijalankan, Supra telah pun dihentikan pengeluaran selama sedekad. Kipas susah mati (Die Hard Fan) perlukan Supra secepat mungkin, tambahan lagi Supra telah menjadi bintang dan dipandu oleh Paul Walker dalam siri pertama Fast and Furious.

Tada secara khusus meminta spesifikasi kereta yang dimahukan oleh Akio Toyoda, sebuah kereta FR, enjin depan pacuan belakang, berkuasa turbo dengan enjin 6 silinder sebaris.

Sebuah kereta Sport yang boleh dibeli oleh rakyat marhaen seperti saya dengan kemampuan beraksi di litar Lumba dan dipandu secara sah di jalanan.

Seperti yang pembaca tahu, BMW memang fasih membina kereta tersebut sejak dari Abam Japar belum bersunat lagi. Namun bagi membezakan kereta ini dengan barisan produk BMW yang sedia ada, kedua dua pasukan Toyota dan BMW bersetuju untuk membina kereta ini dengan cara yang berbeza.

Sebuah Roadsters atau kereta tanpa atap atau kereta dengan bumbung terbuka dicadangkan oleh BMW sebagai sebuah projek kerjasama Toyota dan BMW.

BMW pernah membina sebuah Roadsters dengan nama Z4 bermula dari tahun 1989 yang diasaskan dari model sedan BMW E30. Huruf Z adalah singkatan kepada Zukunft yang membawa maksud future ataupun masa depan dalam bahasa Jerman.

Kereta tanpa bumbung ini juga boleh dikenali dengan pelbagai nama seperti convertible ( Bumbung dengan struktur aluminium boleh dilipat dan disimpan) atau Soft top (menggunakan bahan lain yang lembut sebagai bumbung)

Namun ada cabaran yang tersendiri dalam proses rekabentuk. Dalam struktur monocoque, bahagian bumbung turut membawa beban kereta, menerima daya luar semasa membrek, mengambil selekoh dan pelbagai daya yang membuatkan jurutera analisis pening.

Ketiadaan bumbung akan menyebabkan pengendalian kereta akan terjejas. Oleh yang demikian, cesi untuk kereta ini perlu direka dengan teliti semasa proses rekabentuk bermula.

Toyota dan BMW bersetuju, kedua dua model pengganti Supra dan Z4 perlu menggunakan platform cesi yang baru.

Kriteria yang baru ditetapkan ialah, sebuah convertible dua pintu, dengan konfigurasi FR dan cukup kukuh untuk dikenakan tork dan kuasa enjin yang tinggi. Agihan berat pula hendaklah 50 peratus di gandar depan dan 50 peratus di gandar belakang seperti ramuan biasa BMW.

Klaus Frohlich mengetuai pasukan BMW manakala Tada mengetuai pasukan Toyota selepas visi projek ditetapkan. Selepas dari ini, bermula saat getir yang dihadapi oleh Tada dan Klaus dan mereka saling belajar di antara satu sama lain.

Antara isu yang dihadapi ialah:

Halangan bahasa dan budaya kerja antara Toyota dan BMW, pandangan kejuruteraan yang berbeza antara pasuka dan rasa bangga terhadap produk masing-masing.

Toyota sangat terkejut dengan jumlah pelaburan yang dikeluarkan oleh BMW semasa proses R&D. Sebagai sebuah syarikat yang amat mementingkan kos, Tada mula risau kos R&D akan mengurangkan keuntungan kedua-dua syarikat.

Pasukan Tada kagum dengan ujian jalanan yang perlu dilalui oleh produk BMW, malahan tempat letak lambang BMW telah pun ditetapkan walaupun secara fizikal kereta tersebut masih belum wujud.

BMW pula pening kepala melihat ujian Quality Check dan Quality Assurance yang dibuat oleh Toyota. Malah setiap skru yang akan dipasang akan melalui ujian FEA ( Finate element analisis).

Mana mana komponen yang gagal akan dihantar kembali ke Jepun untuk proses rekabentuk semula. Masalah masalah di atas sedikit sebanyak melambatkan proses rekabentuk dari jadual asal.

Kedua dua pasukan mempunyai idea yang berlainan bagaimana platform cesi ini harus dibina. Enjin, kotak gear dan sistem suspensi adalah komponen utama yang harus disiapkan dalam fasa pertama pembinaan Z4/Supra.

Namun percakaran antara kedua dua pasukan ini diredakan apabila Timbalan Ketua Jurutera Toyota, Masayuki Kai mengetuai pasukan Toyota daripada Tada.

Kai dilahirkan di Jerman dan dibesarkan di Jerman sehinggalah dia berumur 10 tahun. Bukan sahaja Kai mahir dengan bahasa Jerman, tapi dia juga mahir dengan budaya dan etika memudahkan komunikasi kedua dua pasukan.

Selepas dia menyatukan kedua dua pasukan, projek ini berjalan lancar mengikut jadual yang telah ditetapkan. Antara perkara yang dipersetujui ialah struktur cesi Cluster Architecture, jarak antara roda depan belakang dan lebar cesi. Malah tahap ketegaran cesi dan ketangkasan cesi turut dipersetujui oleh pasukan Toyota dan BMW.

Tada inginkan sebuah cesi yang sangat tegar tetapi ringan. Salah satu cara yang mudah untuk menghasilkan cesi tersebut ialah dengan menggunakan gentian karbon seperti yang digunakan Lexus LFA.  Namun ia akan meningkatkan kos pengeluaran dan juga harga jualan Supra dan susah untuk proses modifikasi oleh tuner luar.

LEXUS LFA

Tada meneruskan idea cesi Cluster Architecture dengan memilih gabungan High tensile steel, aluminium, Karbon yang diperkuatkan dengan plastik yang digabungkan dengan kaedah ikatan perekat yang banyak berbanding dengan dengan kaedah Spot welding.

Dalam keadaan ekstrim sambungan Spot welding boleh terherot, namun sambungan perekat tetap utuh.  Oleh kerana kebanyakan pemilik suka memasang GT wing selebar sayap Airbus, maka struktur belakang diperkuatkan agar mampu menahan downforce yang terhasil.

Struktur cesi Supra mempunyai ketegaran torsion yang tinggi, lebih tinggi daripada LFA. Malah Supra boleh ditambah dengan pelbagai aksesori dan komponen kesukaan mereka kerana itu Supra A80 cukup disukai oleh generasi terdahulu.

Bagi unit enjin dan kotak gear, satu enjin 6 silinder dan kotak gear 8 ratio dipilih. Walaupun BMW sudah pun memiliki sebuah enjin dengan kod N55, 6 silinder 3000cc lengkap dengan turbo berkembar, kualiti enjin ini tidak menepati standard reliabiliti piawaian Toyota.

Oh. ya untuk makluman pembaca, enjin ini memenangi anugerah Wards 10 Enjin Terbaik dari tahun 2011-2013. Sekali lagi nasib menyebelahi Toyota kerana BMW telah pun menyiapkan sebuah lagi enjin dengan dengan kod nama B58 dan mula digunakan oleh BMW sejak 2015 lagi.

Enjin ini sekali lagi dianugerahkan sebagai enjin terbaik oleh Ward pada tahun 2017 datang dengan teknologi seperti pancitan bahan api terus, sistem pengecas turbo, nisbah mampatan 11:1, teknologi variable valve timing VVT (BMW double Vanos) dan mekanisma valve lift ( Honda- VTEC, BMW – valvetronic).

Penjana B58B30M1 ini menghasilkan 335hp pada 5000-6500 RPM dan 500Nm tork dari 1600 – 4500 RPM.

Kotak gear automatik ZF 8HP50 dipilih untuk menggalas tugas menerima tork dan menghantar kuasa ke roda belakang. Transmisi ini dibuat oleh ZF Friedrichshafen digandingkan dengan Torq Converter mampu mencapai penjimatan bahan api sehingga 11% berbanding transmisi 6 kelajuan automatik.

Walaupun pada awalnya kedua dua pasukan melihat kotak gear Klac berkembar sebagai pilihan utama, namun selepas beberapa aspek seperti berat, kelancaran operasi dan reliabiliti diambil kira, kotak gear ini akhirnya dipilih oleh pasukan.

Kotak gear ini mampu beroperasi sehingga tork maksima 500Nm, jadi kepada tuner luar sila ambil nota ya. Jika Ada yang mengatakan transmisi ini adalah teknologi BMW, anda sebenarnya silap.

Transmisi ini digunakan hampir seluruh dunia dari Alfa, Jeep, Aston Martin, Audi, Bently, Chrysler, Dodge, Jaguar, Lamborghini, Lancia, Land Rover, Rolls-Royce, Maserati dan juga Volkswagen.

Sistem suspensi Supra turut mengambil resepi BMW iaitu topang McPherson pada roda depan dan Multi-Link Suspension pada bahagian belakang.

Suspensi depan dan belakang ini menggunakan sistem sistem gantungan bebas, di mana sebarang pergerakan di roda kanan tidak akan mengganggu atau memberi kesan pada roda kiri dan memberi kawalan cesi yang lebih baik.

Kedua dua pasukan bersetuju yang mereka amat gemarkan karakteristik pemanduan BMW M Siri, jadi suspensi ini dipilih bagi Supra. Ia mengurangkan kos penyelidikan dan memudahkan kedua dua pasukan dengan akses vendor BMW yang sedia ada.

Selepas melengkapkan semua komponen utama, kedua dua pasukan penyelidik BMW dan Toyota mengucapkan selamat tinggal dan masing masing akan membangunkan Supra dan Z4 secara berasingan mengikut citarasa masing masing.

Cesi Supra ditala mengikut resipi Tada, kemasan luar dan rekabentuk dalaman Supra akan dibuat mengikut standard Toyota/ Lexus manakala Z4 akan dibuat berdasarkan falsafah BMW.

Talaan akhir sistem suspensi dan kotak gear akan dibuat berdasarkan mengikut spesifikasi Toyota. Persetujuan awal dibuat antara kedua dua pasukan BMW dan Toyota, Z4 dan Supra akan mempunyai rekabentuk berbeza malah citarasa pemanduan juga akan berbeza antara satu sama lain, seolah olah ia tiada kaitan.

Malah terdapat undang undang di Jerman yang menghalang syarikat besar daripada melakukan proses rebadging pada kereta, hanya cesi atau platform saja yang dibenarkan untuk dikongsi. Ini kerana, cesi adalah komponen yang mahal untuk dibuat oleh pembuat kereta. Selebihnya, kedua dua kereta haruslah mempunyai rekabentuk luaran dan rekaan dalaman yang berbeza.

Adakah ia menjadi masalah kepada Toyota?

Tidak sama sekali kerana Ketua Rekabentuk Supra, Nobuo Nakamura telah bekerja keras semenjak dari tahun 2013 membangunkan sebuah kereta Sport dengan Kod nama FT-1 konsep.

Ia dibangunkan di studio rekabentuk Toyota di Calty, California dengan tema condensed extreme design, jadi tidak hairanlah bentuk Supra agak berani berbanding rekabentuk Toyota yang lain.

Supra juga mengambil elemen Toyota 2000GT dan juga aspirasi  Supra A80 sebagai tema rekabentuk.

Rekabentuk BMW diketuai oleh Ketua Jurureka Bentuk Adrian Van Hooydonk.

Adakah Z4 sama dengan Toyota Supra?

Toyota menawarkan 2 pilihan kepada pelanggan samaada enjin 2000cc (B48B20 turbo) dengan kuasa 194-255 hp bergantung kepada negara dan juga tetapan enjin ataupun 3000cc (B58B30 turbo) dengan kuasa 335hp.

Sudah tentu pilihan enjin 2000cc ditawarkan kepada pelanggan yang berduit banyak yang sedia untuk melabur dengan menukar kepada enjin yang lebih besar. Kedua dua enjin tadi dipadankan dengan kotak gear automatik ZF 8 kelajuan.

Jarak antara roda ialah 2470mm, lebar Supra mencecah 1865mm manakala panjang keseluruhan ialah 4380mm. Tinggi Supra ditetapkan pada 1295mm dan berat antara 1410-1520kg

Sama seperti Supra, Z4 turut berkongsi jarak antara roda 2470mm, lebar 1864mm, manakala panjang keseluruhan Z4 pendek sedikit berbanding Supra iaitu sekitar 4324mm.

Z4 juga mempunyai tinggi yang lebih dari Supra iaitu pada 1304mm. Walau bagaimanapun berat Z4 lebih kurang sama iaitu 1405 – 1535kg bagi berat maksima. Sama seperti Supra, enjin 2000cc ditala pada 255hp, manakala enjin 3000cc ditala pada 2 tetapan. Untuk negara yang memerlukan penapis petrol dipasang, kuasa enjin ialah pada 335hp, manakala untuk negara yang suka melihat kutub Utara mencair, kuasa enjin ditetapkan pada 382hp.

Saya pernah menulis satu artikel panjang mengenai seorang lagenda Ketua Pemandu Ujian Toyota, Hiromu Naruse yang maut ketika menguji Lexus LFA Edisi Khas.

Naruse adalah seorang lagenda mengenai pemanduan dan bagaimana kereta Toyota harus dibuat agar ia seronok dipandu, dan sudah pasti Naruse mempunyai anak murid yang telah dilatih agar peka dengan pemanduan.

Sebelum Supra dilancarkan kepada umum, sudah pasti pemandu ujian Toyota telah memandu beribu ribu jam di dalam Supra dan segala maklum balas akan diberikan kepada jurutera.

Untuk ujian reliabiliti, Supra dan Z4 telah diuji oleh BMW di jalanan dan juga ujian cuaca ekstrem. Toyota akan membekalkan Supra kepada BMW dan data akan dikirim kepada Toyota.

Namun Jurutera Toyota tetap akan menjalankan ujian bagi tujuan penalaan khas di litar Lumba dan litar Ujian Toyota di Jepun dan juga Nurburgring. Namun yang pebh menarik, jurutera Toyota tidak pernah memandu uji prototaip BMW Z4 semasa ujian dijalankan dan tidak mendapat sedikit pun idea bagaimana dinamik pemanduan Z4.

Pada tahun 2018, Toyota menjemput media permotoran antarabangsa ke litar Jarama Sepanyol bagi sesi pemanduan Supra kepada wartawan permotoran.

Selepas ujian pemanduan dijalankan, Toyota bertanyakan kepada wartawan permotoran “Adakah sesiapa pernah memandu Z4?” Hanya Chris Walton penulis dari Motortrend yang pernah memandu kedua-dua kereta menyebabkan dia menjadi perhatian Masayuki Kai.

Walton menjelaskan bahawa kedua dua kereta mempunyai pemanduan dinamik yang berbeza dan karakter pemanduan yang sangat berbeza, dan Supra tetap sebuah Toyota seperti mana yang diinginkan oleh peminatnya dan langsung tidak seperti Z4.

“Jangan sesekali mengatakan Z4 adalah sebuah kereta tanpa bumbung, makala Supra adalah sebuah kereta dengan bumbung” tegas Walton. Chris Walton turut memberikan beberapa pandangan beliau selepas memandu kedua dua kereta seperti:

1. Di dalam mode Sport+, BMW Z4 menjadi sangat agresif dengan kelajuan kereta meningkat secara mendadak dan penukaran gear dilakukan dengan cukup agresif seperti BMW M siri ataupun seperti Abang Japar pada malam Jumaat selepas meminum tongkat Ali.

2. Sebaliknya, Supra dalam mode Sport+ melakukan pecutan secara linear dan Natural, penukaran gear dibuat seperti sebuah Lexus. Hasilnya pecutan kereta menjadi lembut dan lancar. Pada masa yang sama Walton menegaskan tork maksimum dapat dirasakan ketika RPM enjin di antara 1600- 4500.

3. Hanya pemandu profesional akan merasakan perbezaan kuasa yang dibuat oleh Z4 382hp dengan Supra 335hp. Toyota adalah Toyota, dan jika anda perasan dan buat perbandingan kuasa enjin Toyota akan sentiasa lebih rendah dari pesaingnya. Namun prestasi di atas jalan akan jauh berbeza dari atas kertas.

Saya mengesyaki Toyota sengaja merendahkan kuasa enjin agar enjin ini tahan untuk jangka masa yang lama. Pemikiran Konservatif….

4. Mengikut perkiraan, Z4 mempunyai nisbah berat dengan kuasa enjin 248hp per tonne (1000kg). Manakala Supra pula jauh lebih rendah pada 220hp per tonne. BMW memberikan statistik masa yang diperlukan oleh Z4 ialah 3.9 saat manakala Supra pula 4.1 saat.

5. Z4 mempunyai pekali geseran pada 0.29Cd makala Supra masih lagi belum diketahui. Namun berdasarkan rekabentuk Supra yang lebih aerodinamik, Walton percaya Supra memiliki pekali geseran yang lebih rendah.

Namun bagi saya, di saat pengeluar ditekan oleh undang undang pencemaran antarabangsa, kereta elektrik dan juga akta mencintai kutub Utara, beruang gemuk dan juga burung penguin, masih ada pihak yang berani melawan arus dan mencipta kereta untuk tujuan keseronokan pemanduan.

Mazda masih kekal berpegang pada enjin pembakaran dalam, BMW dengan M siri namun terpaksa menggunakan turbo, dan Toyota membuktikan walaupun ia peneraju teknologi hibrid, namun masih mampu menghasilkan kereta Sport.

Kos pembangunan yang tinggi dan volume jualan yang rendah memaksa Toyota dan BMW berpakat untuk menghasilkan sebuah kereta yang seronok dipandu dan masih dalam jangkauan rakyat Marhaen.

Lagenda Supra akan tetap diteruskan oleh mereka yang keras kepala seperti Tetsuya Tada, Masayuki Kai, Nobuo Nakamura, Akio Toyoda dan pemandu Vios yang sengaja menyalakan lampu kabus belakang.

Ganbate Toyota!

Google ads
Back to top button